Warga Iran dengan pasport palsu mahu bina hidup baru di Frankfurt

Warga Iran dengan pasport palsu mahu bina hidup baru di Frankfurt

Pouri Nourmohammadi, warga Iran yang menaiki MH370 dengan pasport palsu begitu teruja dengan penerbangan tersebut.

Ia adalah permulaan pengembaraan beliau untuk bertemu ibunya di Frankfurt, Jerman dan memulakan hidup baru.

Lelaki berusia 19 tahun itu menyatakan di laman Facebook miliknya berkenaan "perasaan teruja" beliau. Ia adalah posting terakhirnya di laman sosial tersebut.

Rakannya juga tidak mengetahui dia meninggalkan Iran sehingga memuat naik beberapa gambar di Malaysia seperti Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur, lapor TIME.com.

"Disebabkan beberapa masalah saya akan menutup akaun. Sahabat, jika saya ada melakukan kesilapan, maafkan saya kerana mungkin..." post di laman Facebook miliknya bertarikh 24 Februari.

Pada 4 Mac, rakan Pouri menulis bertanyakan sama ada dia akan kembali ke Iran. Remaja itu membalas "Tidak."

Selepas melalui pemeriksaan kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dia memuat naik: "Terima kasih kepada mereka yang mendoakan saya, saya selamat."

Sejak berita mengenainya tersebar berikutan kehilangan pesawat MH370, laman Facebook miliknya dipenuhi posting mendoakan keselamatannya.

"Saya tidak mengenali anda, tetapi saya mendoakan anda akan pulang ke pangkuan keluarga," kata individu bernama Vahid Ajami.

Pouri dan seorang lagi warga Iran, Seyed Hamid Reza Delavar, 29, menimbulkan kekeliruan awal minggu ini apabila mereka menggunakan pasport yang dicuri menaiki pesawat MH370.

Pasport berkenaan dimiliki oleh rakyat Austria, Christian Kozel, 30, dan Itali, Luigi Maraldi, 37, yang melaporkan pasport mereka dicuri ketika berada di Thailand.

Berita berkenaan pasport curi digunakan dua penumpang membawa spekulasi pengganas dan sabotaj namun pihak berkuasa menolak kemungkinan kedua-dua mereka mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.

Semalam, Setiausaha Agung Interpol dilaporkan berkata kedua-dua mereka berkemungkinan bukan pengganas manakala Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga seperti pencari perlindungan apabila polis menghubungi ibunya di Frankfurt.

Turut dilaporkan pemuda Iran mula meninggalkan negara mereka bagi mencari kedudukan ekonomi dan kebebasan yang lebih baik.

Nasib Pouri dan Seyed Hamid, sama seperti 237 penumpang MH370, masih lagi menjadi misteri ketika dalam penerbangan ke Beijing pada Sabtu.

Pasukan mencari dan menyelamat diteruskan di Laut China Selatan, Selat Melaka dan Laut Andaman.

Pesawat Boeing 700-200ER dengan nombor pendaftaran hilang dari radar tanpa menghantar sebarang mesej kecemasan. – 12 Mac, 2014.