Warkah daripada atta – Ahmad Al-Farooqi Haja Mohideen

Kepada anakku, ketika atta menulis warkah ini, atta masih lagi menuntut di tahun tiga di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan yang paling utama di kala atta menulis warkah ini sebenarnya atta masih belum bertemu ibumu yang sekarang ini berada di sebelah kamu. Tetapi atta yakin dan pasti nama ibumu sudah terpahat di Luh-Mahfuz ketika itu. Siapa, di mana, bagaimana rupanya, tidaklah mampu atta bayangkan.

Tujuan atta menulis warkah ini sewaktu usia muda bukan apa, cuma risau akan atta tidak punyai masa untuk menulis dan menasihati kamu dengan cara sebegini rupa. Atta menulis warkah ini pada awal Disember dan di penghujung 2014, dan atta juga tidak pasti bila kamu akan membaca warkah ini. Atta amat berharap kamu membaca warkah ini ketika semua gigi susu kamu sudah sempurna dan dibantu ibumu untuk menjelaskan khazanah warkah ini. Warkah ini mungkin dipandang gila manusia di sekelilingi atta, kerana warkah ini terlalu "ambitious" tapi atta yakin warkah ini bakal menjadi memori dan sejarah demi membentuk sebuah kepimpinan baru pada era akan datang.

Tujuan atta menulis warkah ini kepada kamu kerana atta inginkan zuriat yang mempunyai daya saing dan berkepimpinan tinggi pada masa akan datang. Di kala atta menulis warkah ini, atta masih kabur siapakah kamu samaada seorang putera atau puteri tapi yang jelas kamu bakal menjadi seorang pejuang yang akan membantu nasib golongan tertindas dan memerlukan.

Teringat atta akan kata-kata nukilan pendeta lama “Ketika aku muda, aku ingin mengubah seluruh dunia. Lalu aku sedar, betapa sukar mengubah seluruh dunia ini, lalu aku putuskan untuk mengubah negaraku saja. Ketika aku sedar aku tidak boleh mengubah negaraku, aku mula berusaha mengubah bandarku. Ketika aku semakin tua, aku sedar tidak mudah mengubah bandarku. Maka aku mula mengubah keluargaku. Kini aku semakin tua, aku sudah tidak boleh mengubah keluargaku, aku sedar, satu-satunya yang boleh aku ubah ialah diriku sendiri. Tiba-tiba bila aku sedar bila saja aku boleh mengubah diriku, aku pasti boleh mengubah keluargaku dan bandarku. Akhirnya aku akan mengubah negaraku dan aku pun boleh mengubah seluruh dunia ini.” Atta cuma tidak mahu menjadi terlalu tua atau terlambat mengubah keluarga dan diri sendiri, itulah antara sebab utama atta menulis warkah ini kepada kamu ketika atta masih muda dan kamu membacanya di kala kamu masih mentah.

Dalam keadaan politik yang tidak menentu, atta rasa tidak sesuai untuk menceritakannya walaupun atta sedang mempelajari proses politik sebenar di negara kita. Atta rasa lebih molek atta menulis warkah ini kepada kamu supaya dapat melahirkan seorang pejuang yang benar-benar merasai keperitan dan kepenatan dalam mengharungi onak dan duri demi menjadikan negara kita ini sebagai negara yang lebih hebat di bawah kepimpinan kamu kelak. Atta mengambil masa menulis warkah ini kerana atta percaya untuk melahirkan seorang yang hebat mengambil masa yang lama dan perlu melalui pelbagai proses.

Wahai anakku, inilah wasiat dan warkah pertama kepada kamu untuk melangkah menjadi seorang pejuang kelak nanti. Atta dibesarkan datuk kamu, kami tiga-beradik tidak pernah dibesarkan dengan apa-apa kekurangan tetapi kami sering dititipkan pesanan “Atta tidak punya harta yang banyak untuk kamu tiga-beradik warisi, cuma harta yang atta mampu tinggalkan kepada kamu ialah ilmu”. Wahai anakku sayang, kini tiba pula giliran ayahmu ini untuk mengulang ungkapan warisan yang sama kepada kamu. Ingatlah anakku, atta tidak mampu tinggalkan harta yang berjuta untuk kamu, tapi anggaplah warkah pertama ini sebagai salah satu harta kepada kamu kelak.

Wahai anakku, tujuan atta menulis warkah ini kepada kamu agar kamu menjadi seorang pemimpin yang berguna kepada keluarga dan masyarakat. Masih segar di ingatan atta, ketika atta berusia 6 tahun atta menulis sepucuk surat kepada Dr. Shankar agar memudahkan pembedahan nenek kamu, sewaktu melahirkan mak cik kamu. Setelah lama tidak menulis kini atta mengambil inisiatif kembali untuk menulis warkah nasihat kepada kamu walaupun ketika menulis ini atta masih belum bertemu ibu kamu. Tetapi atta yakin anak-anak atta pasti comel, cantik dan gagah seperti atta.

Wahai anakku, ingatlah untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat bukannya kerja mudah, tetapi kamu perlu tahu dalam kehidupan ini kamu harus mempunyai prinsip hidup kerana itulah pokok untuk menjadi seorang pejuang. Jangan sesekali mengadai prinsip kamu. Andai kamu yakin prinsip kamu itu benar, telus dan tidak membebankan masyarakat sekeliling dan keluarga tercinta, maka teruskan berjuang hingga kamu mencapai agenda dan cita-cita kamu demi kebaikan ummah!

Jangan sesekali kamu termakan hasutan atau kritikan yang akan melumpuhkan kamu, kerana itu lumrah manusia yang hanya tahu mengkritik dan menjatuhkan orang lain tapi mereka sendiri gagal untuk memajukan diri mereka. Kamu perlu buktikan kepada suara-suara itu kamu mampu mengubah dunia.

Ketika kamu membaca warkah ini dan dibantu ibu kamu, atta berharap agar warkah ini menjadi warkah pertama seorang ayah kepada anaknya dalam membentuk khalifah zaman moden nanti. Wahai anakku sayang, ingatlah untuk menjadi seorang pemimpin dan pejuang pada masa akan datang memerlukan persediaan yang rapi kerana dunia ini penuh dengan cabaran.

Persediaan pertama yang perlu kamu lakukan, jadilah anak yang soleh dan taat kepada perintah kedua ibu bapa. Latihan ini memerlukan komitmen yang tinggi demi menjadi pemimpin kelak. Andai kamu lulus ujian persediaan ini maka kamulah bakal pemimpin ummah yang akan datang. Jangan sesekali kamu melawan perintah ibu bapa kamu, kerana setiap perintah dan larangan mereka sudah pasti ada hikmah yang terselit pada kemudian hari.

Percayalah wahai anakku, andai kamu melawan perintah mereka, sudah pasti kamu menempah jalan ke jahanam. Jangan sesekali kamu menempah jalan ke jahanam wahai anakku! Tidak atta sanggup melihat air mata kamu berlinangan di dunia atau di sana kelak. Atta yakin kamu pasti menjadi putera dan puteri yang soleh dan solehah.

Wahai anakku, di dunia yang serba moden ini, atta tidak mampu berjanji kepada kamu untuk mengikut arus kemewahan dan atta juga tidak mampu menjanjikan bulan dan bintang kepada kamu tetapi atta cuma mampu berjanji kepada kamu yang atta akan sentiasa bersama di sisi kamu di saat susah dan senang kamu. Harta warisan yang atta mampu tinggalkan kepada kamu hanyalah ilmu wahai sayang.

Apabila kamu membaca warkah ini tanamlah hasrat di hati kamu untuk menjadi seorang pemimpin yang berilmu. Usah kamu khuatir, pilihlah ruang dan hala tuju kamu untuk mencapai cita-cita kamu kerana atta tidak akan pernah sesekali menghalang cita-cita kamu. Cuma atta mahukan kamu menjadi seorang manusia yang berperikemanusiaan kepada ciptaan Tuhan yang lain, itu sudah cukup membuatkan atta tersenyum di kubur nanti.

Di dunia yang moden ini, percayalah wahai anakku, semuanya tidak indah seperti mana kamu melalui zaman kanak-kanak dahulu, waktu inilah kamu akan sedar betapa pentingnya ilmu dan nilai perikemanusiaan. Andai kamu tidak punya ilmu sudah pasti kamu akan ditindas, dipijak, dihina dan dicaci orang sekeliling, sedarlah anak ku ilmu itu pelita hidup.

Ingatlah wahai anakku, jika kamu sudah berjaya dalam hidup kelak, bukalah kembali warkah ini pahatlah nasihat atta ini, kamu harus bangkit dan lawan kekejaman. Kamu harus bantu golongan yang memerlukan pertolongan kerana itulah tugas utama kamu dilahirkan di muka bumi ini sebagai khalifah.

Wahai bakal khalifah moden, ingatlah pesanan atta ini sehingga kamu punyai anak nanti, atta menulis ini ketika kamu belum wujud lagi di dunia ini, tetapi warkah ini sebagai persediaan untuk menunggu kelahiran kamu demi menegakkan kebenaran di muka bumi ini. Selamat datang sayang! – 3 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.