Advertisement

Zaman berdialog, bukan bersengketa

Di tengah-tengah pelbagai krisis yang menimpa negara ini, termasuk krisis kepimpinan parti politik yang memerintah, bahkan kepimpinan dalam parti pembangkang sendiri, saya terkesan dengan satu ucapan menarik daripada Dalai Lama, pemimpin negara Tibet yang popular.

Beliau menyampaikan ucapan di depan ratusan penulis dan intelektual seluruh dunia yang menghadiri Festival Penulis Terbesar di Asia pada Februari 2013 di kota Jaipur, India.

Ucapannya yang berjudul ‘Kebebasan penulis dalam menegakkan keadilan’ mengatakan abad ke-21 ini sepatutnya abad dialog dan penghujahan terbuka antara pelbagai pihak, termasuk antara penulis, pengamal media, pemimpin politik, termasuk pemimpin politik yang memerintah.

Juga, kata Dalai Lama, sepatutnya wujud kesegaran berdialog antara pemimpin politik yang memerintah dengan pemimpin masyarakat dan kalangan intelektual, khususnya penulis.

Tetapi, katanya hal ini tidak berlaku, malah digantikan dengan ancaman tangkapan dan pemenjaraan, deraan, kecaman, pemboikotan dan seumpamanya.

Jadi menurut beliau, abad ke-21 menjadi abad yang malang, tidak harmonis, malah mencetuskan hingga pertempuran fizikal antara negara, malah pertarungan tajam antara pelbagai pihak dalam negara sendiri.

“Inilah peranan penulis untuk membantu wujudnya kesuburan dialog dan perundingan di kalangan pelbagai pihak, bukan bertarung fizikal hingga menumpahkan darah,” katanya dengan tegas.

Saya terkesan dengan ucapannya ini, kerana ia menggambarkan kekecewaan seorang pemimpin dunia yang selama ini berjuang secara damai untuk mendapatkan kebebasan dan keadilan serta hak bernegara.

Memanglah zaman ini sepatutnya zaman berdialog, menyelesaikan masalah secara perundingan, tetapi ini tidak berlaku kerana ego masing-masing pihak, lebih-lebih lagi apabila berkuasa.
Dalai Lama berucap kepada kalangan penulis dan intelektual yang diharapkannya boleh menyampaikan mesej ini kepada dunia yang dilihatnya kini ditandai dengan pelbagai pertarungan.

Malangnya, pada pendapat saya, penulis dan kalangan intelektual sendiri berdepan dengan masalah ini di mana-mana pun, termasuk di negara ini sendiri.

Tekanan dan hambatan terhadap penulis dan wartawan serta golongan intelektual yang mahukan berdialog dan rundingan dalam menyelesaikan masalah serta perbezaan pendapat sering menghadapi jalan buntu, malah dibalas dengan pelbagai tindakan.

Malah pihak tertentu, bukan sahaja enggan berdialog dan menerima pandangan berbeza, tetapi dibalas dengan kecaman dan tindakan.

Namun bagi penulis sejak zaman-berzaman di negara ini tetap meneruskan perjuangannya untuk menegakkan keadilan dan kebebasan, walaupun ada yang sampai meringkuk dalam tahanan. Pengarang Ishak Haji Muhamad atau Pak Sako dan rakan-rakannya serta wartawan Said Zahari serta lain-lain adalah antara contohnya.

Pada zaman penjajah British, novelis Ishak mengkritik penjajah yang dilihatnya memperhambakan rakyat negara ini. Disebabkan itu, beliau dipenjarakan oleh British.

Tetapi selepas negara mencapai kemerdekaan, Ishak menghalakan pula kritikannya terhadap anak tempatan yang memerintah di mana dilihatnya tidak adil dan menyeleweng. Akhirnya Ishak dipenjarakan kali kedua oleh pemerintah bangsanya sendiri.

Namun perjuangan penulis untuk menegakkan keadilan dan kebebasan serta keadilan sosial akan tetap berterusan.

Kini, Seniman Paksi Rakyat, sebuah badan penulis yang dianggotai penulis dan kebudayaan, umpamanya, kelihatan dengan gigih meneruskan perjuangan ini.

Program demi program diadakan, setiap bulan di sebuah tempat yang sangat sederhana – Madrasah Seni Banda Dalam – di pinggir Kuala Lumpur. Di sana, para penggiat seni – penulis, seniman, sasterawan, dramatis, novelis dan lain dari ceruk rantau datang berkumpul di sana untuk pelbagai program hampir setiap bulan.

Mereka ini sebenarnya sangat ingin berdialog atau menyampaikan pandangan dengan pelbagai pihak – yang berkuasa dan tidak berkuasa – mengenai pelbagai masalah, termasuk masalah politik, keadilan, kebebasan berkarya dan sebagainya.

Alangkah baiknya jika pihak tertentu bersedia untuk berdialog dan mendengar pandangan mereka dalam pelbagai perkara. Jika ini berlaku, menurut kumpulan karyawan ini, ia menunjukkan suatu kesegaran dan keharmonian.

Dialog yang dimaksudkan Dalai Lama di atas tadi adalah dalam perspektif berskala besar di peringkat antara bangsa.

Tetapi hasrat para sasterawan dan seniman tempatan yang disebutkan tadi untuk mewujudkan dialog sekurang-kurangnya mendukung dari jauh kemurnian cita-cita Dalai Lama itu.

Menurut pendapat saya, jika dialog dan pertukaran pendapat dan diadakan, maka jurang perselisihan akan semakin mengecil, walaupun tidak mudah dihapuskan.

Maka alangkah harmoninya suasana, jika dialog dan percambahan idea akan selalu diadakan, di mana antara karyawan dengan pelbagai pihak menjadi harmonis.

Namun menurut pendapat saya, para karyawan, dalam apa keadaan pun, tidak akan berhenti berjuang untuk membela keadilan dan kebebasan. Dari itu marilah semua pihak menyokong segala jenis dialog dan wacana dan perjuangan karyawan. – 13 Januari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.