Advertisement

Kenapa hidung sering berdarah?


Soalan:
Sejak berusia 5 tahun, hidung saya sering sangat berdarah. Keadaan itu berlaku secara tiba-tiba. Kadang-kadang darah tiba-tiba keluar dari hidung ketika saya mandi. Perkara yang sama berlaku ketika saya berasa sejuk atau terlalu letih dan biasanya saya juga akan sakit kepala. Saya bingung kerana keadaan ini berlaku sejak saya kecil hinggalah sekarang. Saya pernah menjalani pemeriksaan pada ketika usia remaja dan doktor mengatakan tidak ada sebarang masalah serius. Namun bagi saya keadaan ini adalah suatu perkara ganjil. Mohon penjelasan.

Frances, 20 tahun.

Jawapan:

Helo, Frances.

Dalam istilah perubatan, keadaan yang anda alami ini dikenali sebagai Epistaksis.  Tahap keseriusannya boleh jadi ringan hinggalah berat.  Namun 90 peratus kes dapat berhenti dengan sendirinya. Epistaksis bukanlah penyakit, tetapi ia adalah gejala daripada suatu kelainan. Sebanyak 95 peratus pendarahan didapati berasal dari rongga hidung di bahagian depan.

Berikut beberapa punca terjadinya Epistaksis:

Kelainan Setempat Pada Hidung
1.  Kelainan bawaan sejak lahir (penyakit Osler).
2.  Ia disebabkan oleh:
-  Trauma akibat membuang hingus terlalu kuat, mengorek hidung, benda asing, bersin, patah tulang hidung, pascapembedahan dan iritasi bahan kimia.
-  Jangkitan pada hidung dan sinus.
-  Keganasan seperti Hemangioma, Karsinoma.
-  Idiopatik / tidak diketahui puncanya.

Kelainan Sistemik
1.  Tekanan darah tinggi dan kelainan pembuluh darah.
2.  Kelainan darah seperti trombosit terlalu rendah, kelainan pembekuan darah / hemofilia, leukimia.
3.  Jangkitan: Demam denggi berdarah.
4.  Ubat antipembekuan darah.
5.  Perubahan tekanan atmosfera.

Dalam kes anda, terlebih dahulu perlulah diketahui ‘sering’ yang anda maksudkan itu, sebenarnya berapa kalikah dalam sebulan?

Biasanya pada usia anda, hidung berdarah  adalah disebabkan oleh  trauma.

Namun oleh kerana dalam kes anda ini hidung berdarah berlaku secara tiba-tiba, maka penyebab yang lain harus dikenal pasti.  Ia mungkin disebabkan oleh kelainan pembekuan darah atau kelainan pada pembuluh darah pada hidung yang mengakibatkan ia lebih mudah pecah.

Justeru saya mengesyorkan anda menjalani pemeriksaan lanjut bersama doktor pakar telinga, hidung dan tekak (TNT).

Semoga membantu.


www.meetdoctor.com