14 maut letusan gunung berapi Sinabung di Sumatera Utara

14 maut letusan gunung berapi Sinabung di Sumatera Utara

Sekurang-kurangnya 14 maut dan tiga cedera terkena awan panas daripada letusan gunung berapi Sinabung di daerah Karo, Sumatera Utara, semalam.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia menyatakan semua mangsa berkenaan yang ditemui setakat ini dalam tiga kejadian letusan dari jam 10.30 pagi Sabtu, adalah di Desa Sukameriah yang terletak dalam radius hanya 3 km dari Gunung Sinabung.

Mereka yang terkorban termasuk beberapa pelajar sekolah menengah, mahasiswa universiti, seorang guru dan seorang wartawan yang pergi ke desa itu untuk melihat keadaan Gunung Sinabung dari jarak dekat.

Pasukan mencari dan menyelamat menemui mangsa bergelimpangan di kawasan ladang dan di atas jalan raya. Operasi mencari dan menyelamat diteruskan hari ini.

Berikutan aktiviti Gunung Sinabung yang aktif dengan letusan sejak September tahun lalu, pihak berkuasa mengeluarkan perintah mewajibkan penduduk dalam kawasan radius 5 km dari puncak Gunung Sinabung, berpindah ke pusat pemindahan, namun sebilangan penduduk tetap pulang ke rumah pada waktu siang untuk meneruskan aktiviti harian dan pulang semula ke pusat pemindahan pada waktu malam.

Ketua Pusat Data Maklumat dan Perhubungan Awam BNPB, Sutopo Purwo Nugroho, berkata hingga sekarang 18 desa masih wajib dikosongkan kerana keadaan di kawasan penempatan mereka adalah berbahaya dan penduduk belum dibenarkan pulang dari pusat pemindahan.

Desa itu ialah Sukameriah, Guru Kinayan, Selandi, Berastepu, Dusun Sibintun, Gamber, Kuta Tengah, Dusun Lau Kawar, Ekerah, Simacem, Kutarayat, Sigaranggarang, Kutatonggal, Sukanalu, Kutagugung, Mardinding, Temberun dan Perbaji. - Bernama, 2 Februari, 2014.