18 ahli Parlimen Islam PKR dan DAP boleh halang hudud, kata Gerakan

Blacklist White House site, BN lawmaker tells MCMC

18 adalah "nombor ajaib" di tangan Pakatan Rakyat yang boleh menghalang PAS daripada melaksanakan hudud, kata Gerakan, sebuah parti dalam kerajaan, ketika parti Islam itu mahu meneruskan rancangannya untuk melaksanakan enakmen jenayah syariah di Kelantan.

Sekutu PAS, iaitu DAP dan PKR, boleh mengarahkan 18 ahli Parlimennya yang beragama Islam supaya tidak menyokong rang undang-undang persendirian yang dicadangkan PAS untuk dibawa ke Parlimen bagi membolehkan Kelantan melaksanakan hudud, kata Setiausaha Agung Gerakan Liang Teck Meng.

"Saya mahu pemimpin PKR dan DAP memastikan ahli Parlimen mereka yang beragama Islam tidak mengundi menyokong rang undang-undang ini. Lupakan tentang politik, 18 ini boleh menentukan nasib negara.

"Saya harap PKR dan DAP bersetuju dengan saya mengenai perkara ini," kata Liang kepada The Malaysian Insider.

Kerajaan Kelantan pimpinan PAS akan mengadakan persidangan khas Dewan Undangan Negeri pada 29 Disember untuk meminda Enakmen Jenayah Syariah II dan mencadangkan satu rang undang-undang persendirian dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan yang akan datang.

Daripada 37 kerusi Parlimen yang dipegang DAP, dua wakilnya beragama Islam, iaitu Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari dan Raub, Datuk Ariff Sabri; manakala 16 daripada 29 ahli Parlimen PKR beragama Islam.

Rang undang-undang ahli persendirian itu, apabila dibentangkan di Dewan Rakyat, akan memerlukan majoriti mudah 112 ahli Parlimen menyokong untuk diluluskan.

Mengikut kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, rang undang-undang persendirian itu akan dibentangkan sebaik sahaja Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan pindaan kepada yang Enakmen Kanun Jenayah Syariah II.

Parti Umno dari Barisan Nasional yang memerintah kini mempunyai 88 ahli Parlimen, di mana semuanya beragama Islam kecuali Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee.

PAS memegang 21 kerusi di Parlimen dan jika kedua-dua Umno dan PAS bekerjasama, mereka akan kekurangan empat kerusi untuk mendapat 112 undi yang diperlukan untuk meluluskan rang undang-undang itu.

Liang berkata, Gerakan akan cuba memujuk rakan komponennya, iaitu Umno supaya tidak menyokong rang undang-undang PAS itu, tetapi pada masa yang sama, beliau menggesa PKR dan DAP untuk meyakinkan ahli Parlimen Islam mereka untuk tidak memberikan sokongan.

Beliau juga berkata kesungguhan PAS mengenai hudud menunjukkan ia tidak pernah mempunyai apa-apa niat untuk meninggalkannya walaupun mendapat bantahan keras daripada sekutunya dalam PR, khususnya DAP.

Melaksanakan hudud tidak ada di dalam manifesto bersama PR yang dibentuk oleh ketiga-tiga parti itu.

Parti sekular DAP sudah berkali-kali menuntut supaya PAS menangguhkan rancangannya di Kelantan, menekankan kanun jenayah Islam yang kontroversi itu bukan sebahagian daripada rangka kerja dasar bersama PR.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengakui rancangan PAS yang menerajui kerajaan Kelantan membentangkan pindaan hudud di Dewan Undangan Negeri itu bermasalah, kerana tidak mempunyai bidang kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang jenayah Islam di negeri itu.

"Akan ada banyak masalah kerana anda perlu meminda undang-undang Persekutuan. Anda tidak mempunyai bidang kuasa untuk menguatkuasakan (hudud).

"Katakan mereka melakukannya juga. Siapa yang akan membuat tangkapan? Siapa yang akan membawa mereka (suspek) ke penjara?

"Ia bukan dalam kuasa (kerajaan negeri) mereka. Jadi ada banyak masalah," kata Anwar.

Cubaan PAS untuk melaksanakan hudud bukanlah perkara baru. Percubaan sebelum ini untuk membawa bil persendirian disekat oleh Parlimen yang dikuasai BN, dan tidak pernah sempat mengundi.

Tetapi sejak kebelakangan ini, Umno secara terbuka menyatakan sokongan kepada usaha PAS, dan penghalang utama itu bertukar menjadi sekutu parti Islam itu sendiri.

Pada bulan April, PAS mengumumkan rancangan untuk membawa dua rang undang-undang persendirian di Parlimen untuk membolehkan ia menguatkuasakan hudud di Kelantan.

Tetapi ketika berbuat demikian, sekali lagi konflik yang naik turun dengan DAP sejak 1990-an itu berbangkit sekali lagi mengganggu kerjasama kedua-dua parti itu.

Bagaimanapun pada bulan Mei, berikutan bantahan dan kritikan yang teruk, PAS memutuskan akan menangguhkan pembentangan rang undang-undang itu untuk membolehkan jawatankuasa teknikal bersama kerajaan Persekutuan dan Kelantan mengkaji pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan itu.

Jawatankuasa itu bertemu beberapa kali dan menyatakan mereka berada di landasan yang betul untuk memperkenalkan undang-undang hudud itu. – 19 Disember, 2014.