2 cedera ditembak di Puchong, kata polis

Polis Johor jumpa syarikat keselamatan susulan kejadian amuk

Dua orang warga tempatan termasuk seorang wanita daripada sekumpulan lapan sahabat, cedera ditembak di Puchong Gateway, berhampiran Km30.6 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), awal pagi ini.

Dalam kejadian 5.10 pagi itu, enam lelaki dan dua wanita itu yang menaiki tiga buah kereta, sebelum itu dipercayai berada di sebuah rumah rakan mereka di Kampung Baru, Batu 14, Puchong.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata, kesemua mereka yang ketika itu dalam perjalanan pulang, didatangi sebuah motosikal Honda EX5 hitam yang ditunggangi dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Tiba-tiba pembonceng motosikal itu melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa dan rakan-rakan sebelum melarikan diri.

"Pengadu (mangsa) lelaki mengalami kecederaan di paha kanannya manakala mangsa wanita pula cedera pada tangan kanan dan kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, berikutan hasil pemeriksaan di tempat kejadian, polis menemui enam kelongsong peluru jenis 9mm dan sepucuk pistol serta satu kesan das tembakan pada bahagian pintu kereta mangsa.

Katanya, kesemua lapan sahabat kini disoal siasat bagi membantu dan mengenal pasti motif kejadian itu. – Bernama, 29 Jun, 2014.