Advertisement

3,070 kes denggi dicatat dalam tempoh 6 hari, Kelantan tertinggi

PM cautions people over dengue fever – Bernama

Sebanyak 3,070 kes demam denggi dicatatkan di seluruh negara bagi tempoh 10 hingga 16 Ogos berbanding 2,980 kes dicatat pada minggu sebelumnya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata Kelantan mencatatkan kes tertinggi dengan 1,334 kes yang merupakan 44% daripada jumlah keseluruhan kes mingguan.

"Jumlah terkumpul kes denggi dari bulan Januari sehingga 16 Ogos lepas di seluruh negara adalah 62,860 kes, peningkatan sebanyak 45,585 kes berbanding 17,275 kes dicatatkan pada tahun lepas (2013)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet di Kementerian Kesihatan di Putrajaya, hari ini.

Subramaniam berkata antara faktor menyumbang kepada kes denggi di Kelantan berdasarkan lawatannya ke Pengkalan Chepa pada 18 Ogos lepas adalah masalah pengurusan sampah dan sistem perparitan.

"Lebih 400 anggota kesihatan dari seluruh negara telah dihantar ke Kelantan bagi membantu kerja-kerja mengawal wabak denggi di negeri itu," katanya.

Subramaniam berkata orang ramai boleh memperoleh maklumat terbaharu mengenai kes denggi dengan melayari laman web http://idengue.remotesensing.gov.my/.

Sementara itu, katanya beliau telah mengarahkan semua hospital dan klinik kerajaan untuk bertafakur selama seminit bagi menghormati jenazah mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MH) MH17 sempena istiadat penerimaan jenazah mangsa tragedi itu pada Jumaat ini, antara 10.45 hingga 11.15 pagi. – Bernama, 20 Ogos, 2014.