Advertisement

3 PM terdahulu pasti terkejut lihat Umno sekarang, kata Kit Siang

Squabbling politicians leaving Malaysians without much leadership or hope

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang tidak menolak tiga perdana menteri Malaysia terdahulu juga akan terkejut melihat keadaan Umno sekarang kerana tiada lagi toleransi agama dan rasuah berleluasa.

Lim mengulas kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang mempersoalkan "di mana silapnya kita" semasa konvensyen Umno Wilayah Persekutuan pada Ahad lalu.

"Kita hanya boleh membuat spekulasi. Tunku (Tunku Abdul Rahman) mungkin mengeluh mengenai kebangkitan politik kebencian, sikap tidak bertoleransi dan ketaksuban yang menyaksikan negara terjunam ke arah polarisasi kaum dan agama paling buruk dalam sejarah negara.

"Razak (Tun Abdul Razak) mungkin kesal dengan salah guna kuasa yang banyak oleh pihak yang memegang kuasa dan pemerintahan, yang gagal melihat perbezaan penting antara kerajaan, parti dan peribadi, menyebabkan hilang keupayaan memahami apa yang betul dan salah.

"Hussein (Tun Hussein Onn) pastinya mengeluh mengenai rasuah di peringkat atasan. Semasa beliau menjadi perdana menteri, beliau berkeras membentangkan Kertas Putih Laporan Price Waterhouse Report pada tahun 1979 melibatkan skandal Bank Rakyat, yang melibatkan penyelewengan, salah urus dan penyalahgunaan amanah dan dana awam sebanyak RM65 juta," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Berbanding zaman dahulu, Lim berkata isu melibatkan ketirisan dan salah guna kuasa tidak lagi membimbangkan perdana menteri atau menteri kewangan walaupun ia melibatkan kerugian berbilion ringgit.

"Hussein pastinya terkejut apabila tiada Kertas Putih atau kenyataan kementerian terhadap skandal berbilion ringgit, sama ada melibatkan 1MDB (1Malaysia Development Berhad), Pembinaan PFI Sdn Bhd atau skandal PKFZ terbaru ini," kata Lim.

Hari ini, dua bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menyatakan pandangan mereka menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU)yang bermula hari ini.

Dr Mahathir menggesa supaya perwakilan menegur kepimpinan parti dan menyatakannya secara terbuka supaya landasan parti utama kaum Melayu tersebut tidak tersasar.

Sementara itu, Abdullah pula menggesa supaya perwakilan menjadi lebih proaktif dan tidak cenderung agresif seperti kebiasaan yang mereka lakukan dalam perhimpunan sebelumnya.

"Bilakah kali terakhir bahawa PAU mempunyai berita yang positif kepada masyarakat lain? Ia satu 'berita baik' untuk ke arah usaha membangunkan negara jika PAU tidak memberikan gambaran negatif kepada kaum lain.

"Adakah ini cara untuk Umno, menggunakan kata Abdullah,menjadi parti untuk semua rakyat Malaysia?" katanya.

Lim juga berkata perhimpunan kali ini menjadi medan untuk Umno dilihat sama ada sebuah parti yang sederhana atau kekal ekstremis.

"Umno perlu jelas dan perhimpunan minggu ini peluang terakhir kepada Umno untuk menunjukkan mereka sama ada bersederhana atau ekstremis," katanya. – 25 November, 2014.