50 PROJEK PPR DIBINA DI SELURUH NEGARA MULAI TAHUN INI - HALIMAH

MELAKA, 13 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan

Kerajaan Tempatan merancang membina 50 projek Program Perumahan Rakyat (PPR)

secara berperingkat di seluruh negara bermula tahun ini.

Timbalan Menterinya Datuk Halimah Mohd Sadique berkata enam daripada projek

tersebut melibatkan 3,000 unit rumah telah diluluskan pembinaan di Kedah,

Kelantan dan Melaka dengan kos RM543 juta.

"Setiap tahun kita mempunyai perancangan untuk membina perumahan PPR ini

kerana ia merupakan tanggungjawab kerajaan menyediakan lebih banyak rumah mampu

milik kepada golongan berpendapatan rendah di negara ini," katanya kepada

pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Pangsapuri Sungai Putat Batu

Berendam di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Datuk Mohamad

Yusoff Ghazali.

Beliau berkata perancangan dan pelaksanaan projek PPR itu merupakan

manifestasi keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat tanpa mengira kaum.

-- LAGI

PROJEK-PPR 2 (AKHIR) MELAKA

Sementara itu, Halimah berkata sebanyak 91 projek membabitkan 68,886 unit

rumah mampu milik telah siap dibina di seluruh negara menerusi program PPR sejak

2001 sehingga awal tahun ini.

Beliau berkata sebanyak 27 projek meliputi 13,691 unit rumah masih

dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya secara berperingkat pada

akhir tahun ini dan awal tahun depan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan Melaka telah mengemukakan permohonan

bagi cadangan membina tujuh projek PPR di negeri itu pada 2015.

"Kita telah menerima cadangan tersebut dan akan memperhalusinya termasuk

dari segi peruntukan," katanya.

-- BERNAMA

RSH KIA RAM

Loading...