Abu Kassim terima anugerah daripada Sultan Selangor

Tidak perlu buat laporan, hanya hubungi kami, kata SPRM

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan anugerah yang diterima sempena ulang tahun Keputeraan Sultan Selangor hari ini adalah satu penghargaan kepada inisiatif SPRM mencegah gejala rasuah di negara ini.

Tan Sri Abu Kassim Mohamed (gambar) berkata, beliau berbangga kerana kini usaha dan penglibatan SPRM dalam membanteras rasuah bukan hanya mencatatkan kejayaan di negara ini tetapi turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Tuanku Sultan untuk anugerah ini yang saya kira suatu bentuk pengiktirafan Tuanku kepada pencapaian SPRM membanteras rasuah selama ini," katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah itu daripada Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah di sini.

Abu Kassim, 53, yang dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S) yang membawa gelaran Datuk Setia, adalah antara 102 penerima darjah dan bintang kebesaran Selangor sempena ulang tahun Keputeraan Ke-68 Sultan Selangor hari ini.

Hadir sama dalam istiadat pengurniaan tersebut ialah Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohammed Khusrin Munawi; serta barisan Exco dan wakil-wakil rakyat Selangor. - Bernama, 11 Disember, 2013.