Adun PAS Selangor digantung kemuka rayuan Isnin ini

Hadi tak patut belakangkan Pakatan, kata Adun PAS digantung

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang Saari Sungib yang digantung keahliannya kerana menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor akan mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura Ulama PAS Isnin ini, lapor portal Mstar Online hari ini.

Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu berkata, surat tersebut akan diserahkan sendiri di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

"Saya belum memutuskan apa yang akan dikarang dalam surat rayuan itu nanti. Saya sudah berbincang dengan peguam dan beberapa rakan rapat untuk mendapatkan maklum balas dan pendapat mereka dalam isu penggantungan saya ini," kata Saari seperti dilaporkan portal berkenaan.

"Insya-Allah dalam hujung minggu ini saya akan menulis surat rayuan tersebut. Perkara yang akan ditulis sudah berada dalam fikiran saya."

Menurut Saari, surat penggantungan sebagai ahli PAS itu diterima melalui pos pada 13 Oktober lalu dan sebelum itu beliau menerima salinannya melalui e-mel pada 11 Oktober lalu.

"Dalam surat penggantungan itu, kesalahan yang saya lakukan tidak dinyatakan secara spesifik, namun surat itu memaklumkan saya melakukan kesalahan di bawah perkara 82 (6) Perlembagaan parti.

"Saya juga masih tertanya-tanya mengapa Jawatankuasa PAS pusat tidak menyatakan secara jelas kesalahan tersebut. Apa pun saya akan menjawab surat tunjuk sebab ini dan saya akan serahkannya Isnin ini," katanya.

Menurut portal Mstar Online, usaha menghubungi seorang lagi Adun PAS, Hasnul Baharuddin (Morib) yang turut digantung keahliaan parti kerana membelakangkan keputusan parti berhubung kemelut calon menteri besar Selangor tidak berhasil.

Pada 11 Oktober lalu, Jawatankuasa PAS pusat membuat keputusan menggantung keahliaan Saari dan Hasnul selama setahun berkuat kuasa tarikh sama.

Bagaimanapun, kedua-dua Adun berkenaan diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan secara bertulis dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penggantungan dibuat kepada Majlis Syura Ulama parti mengikut fasal 83 (4) (5) Perlembagaan PAS pindaan 2011.

Pada 29 September lalu, Saari dan Hasnul dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung tindakan mereka menandatangani surat akuan bersumpah menyokong Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal untuk jawatan menteri besar Selangor ketika PAS masih belum menyatakan pendirian.

Tindakan kedua-dua Adun itu dianggap bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Ulama PAS pada 7 Ogos lalu yang memutuskan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak boleh digugurkan daripada jawatan menteri besar Selangor selagi beliau tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkannya disingkirkan. – 22 Oktober, 2014.