Ahli majlis pejabat Melaka diwajib daftar 100 pengundi baru

Setiap ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka kini diwajibkan mendaftar sebanyak 100 pemilih baru setahun berkuat kuasa hari ini, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata langkah itu bertujuan menambah bilangan pengundi baharu untuk persediaan pilihan raya umum ke-14.

Katanya sebelum ini, anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Bandar (JKKB) turut diminta mendaftar sekurang-kurangnya lima pengundi baharu setiap bulan.

Idris berkata demikian kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan penjawat awam di Seri Negeri, hari ini.

Terdapat empat PBT di Melaka iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB); Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ); Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ). – Bernama, Februari 3, 2014.