Ahli Parlimen DAP tuduh peguam negara buat pendakwaan terpilih dalam dakwaan hasutan

Mahkamah benar Teresa Kok ambil keputusan kes Azmi Sharom, bawa ke Mahkamah Tinggi

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok bercadang memindahkan kes dakwaan hasutannya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, dengan tujuan mendedahkan pendakwaan terpilih Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Timbalan pengerusi kebangsaan DAP itu dalam permohonan memindahkan kesnya berkata, Gani enggan mendakwa mereka yang bersifat perkauman dan ekstremis yang menggugat ketenteraman awam, menghina kaum lain serta penganut agama minoriti untuk mengganggu keharmonian dan keamanan.

Katanya, Mahkamah Tinggi merupakan tempat yang sesuai untuk menyiasat sekiranya dakwaan terhadapnya adalah pendakwaan terpilih.

Beliau juga berkata kes tersebut hanya boleh dibawa ke Mahkamah Persekutuan selepas perbicaraan di Mahkamah Tinggi bermula.

"Terdapat banyak persoalan undang-undang yang rumit akan ditimbulkan kerana budi bicara peguam negara sudah pun melampaui hak rakyat yang dilindungi mengikut kuasa undang-undang," kata Kok dalam afidavit yang ditunjukkan kepada The Malaysian Insider.

Hakim Mahkamah Sesyen Norsharidah Awang akan mendengar permohonan untuk memindahkan kes tersebut pada 18 September.

Dalam afidavit yang difailkan pada 22 Ogos, Kok menyenaraikan contoh di mana Gani menyalahgunakan budi bicaranya yang diberikan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tatacara Jenayah.

* Sekumpulan orang menyembelih ayam dan menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang menampar beliau semasa membantah videonya "Onederful Malaysia", tetapi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tiada keperluan untuk menyiasat hal berkenaan.

* Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia mempersoalkan, "Apa lagi Cina mahu" selepas keputusan buruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lepas. BN mendakwa kaum Cina dan pengundi bandar menyokong pembangkang selepas kerusi Parlimen Pakatan Rakyat (PR) meningkat dari 82 ke 89.

* Sebuah laman web melaporkan awal tahun ini Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menyeru supaya Al-Kitab dibakar.

* Sinar Harian menyiarkan artikel "Kesabaran umat Islam ada had" ditulis Ridhuan Tee awal tahun lepas yang mencemuh kaum India.

* Kok juga menimbulkan kes klip video Datuk Zulkifli Nordin (yang mempersoalkan mengapa Tuhan Hindu tidak menghentikan banjir) yang dilaporkan The Malaysian Insider pada Mac tahun lepas.

* Filem "Tanda Putera" di mana pengarah Datin Paduka Suhaimi Baba memaparkan seolah-seolah kaum Cina yang bertanggungjawab atas rusuhan kaum 13 Mei (1969) di Kuala Lumpur.

* Kok juga menimbulkan kritikan kaum Datuk Nasir Safar terhadap kaum Cina dan India dalam kursus 1Malaysia yang dilaporkan The Malaysian Insider bertajuk, "Kerajaan putuskan tiada tindakan terhadap Nasir Safar," pada 28 Jun 2010. Nasir merupakan bekas pembantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kok berkata, tiada seorang pun di atas didakwa menghasut dalam insiden yang disenaraikan, namun kebelakangan ini dakwaan terhadap pemimpin pembangkang dilakukan secara bertalu-talu.

Pada Isnin, bekas menteri besar Perak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin didakwa kerana memfitnah, diikuti dengan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang didakwa dengan hasutan di Kuala Lumpur.

Adun Seri Delima RSN Rayer pula menghadapi dua dakwaan hasutan berikutan kenyataan "Umno celaka" beliau di Pulau Pinang, sementara Naib Presiden PKR N Surendran dan Rafizi Ramli semalam didakwa atas kesalahan hasutan kali kedua mereka.

Seorang lagi naib presiden PKR dan Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang menghadapi dua dakwaan hasutan manakala Adun Seri Setia dan Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad menghadapi dakwaan terbaru kerana menganjurkan himpunan 505 Black Rally mengikut Akta Perhimpunan Aman.

Mereka berisiko kehilangan jawatan mereka sekiranya disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman.

Kok berkata, semua ini berlaku walaupun Najib sudah berjanji untuk memansuhkan akta kuno tersebut pada 11 Julai 2012, serta timbalannya Tan Sri Muhyhiddin Yassin yang berkata keesokan harinya ia bukannya janji kosong semata-mata.

Beliau berkata, Najib juga mengulangi kenyataan untuk memansuhkan akta tersebut semasa ditemuramah British Broadcasting Corporation (BBC) World News pada 2 Julai tahun lepas.

"Hasil daripada kenyataan yang dibuat dua pemimpin, rakyat kini mempunyai harapan yang sah Akta Hasutan dimansuhkan daripada buku undang-undang," katanya.

"Oleh itu, secara logik dan sah, Gani sepatutnya sudah menghentikan sebarang pendakwaan mengikut Akta Hasutan,” katanya.

Pada 6 Mei, Kok tidak mengaku tidak bersalah berhubung video Tahun Baru Cina kontroversinya "Onederful Malaysia" di mana beliau didakwa menghina umat Islam dan pemimpin negara awal tahun ini.

Walaupun beliau menjelaskan video tersebut merupakan satira kehidupan politik Malaysia, Kok tetap menerima kritikan dan lebih 300 laporan polis dibuat terhadapnya. – 29 Ogos, 2014.