Advertisement

Ahli politik Johor bantah pelaksanaan kadar tol baru di Tambak Johor

PAC panggil Kementerian Pertanian selepas muktamad prosiding subsidi beras

Pengumuman Putrajaya menaikkan kadar tol di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor sehingga lebih 400% berkuatkuasa 1 Ogos ini mendapat tentangan hebat daripada ahli politik Johor termasuk daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

Ahli Parlimen Pulai dari BN Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata tindakan kerajaan menaikkan kadar tol itu bakal memberi kesan kepada penduduk Johor yang bekerja di Singapura.

“Saya sendiri tidak faham dengan alasan kenaikan kadar tol berkenaan yang jelas akan membebankan rakyat Johor yang bekerja di Singapura sedangkan, mereka masih terpaksa melalui kesesakan lalu lintas yang teruk setiap hari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ‎pelaksanaan kenaikan kadar tol itu juga berlaku dikala kerajaan baru sahaja mengenakan bayaran Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) yang juga masih tidak dapat diterima sepenuhnya rakyat Malaysia bekerja di Singapura.

“Tiba-tiba, diumumkan pula kenaikan kadar tol di Tambak Johor dan dengan kemudahan infratstruktur di pintu masuk serta keluar CIQ dan Bangunan Sultan Iskandar, BIS yang masih belum mencapai tahap memuaskan, ia tidak memberikan sebarang justifikasi terhadap kenaikan kadar tol berkenaan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu berkata alasan kenaikan kadar tol disebabkan terpaksa menanggung kes pembinaan Lebuh Raya Penyuaraian Timur (EDL) adalah sangat tidak masuk akal.

"EDL adalah projek penswastaan yang sepatutnya memberikan manfaat kepada rakyat bukannya dibebankan dengan kenaikan kadar tol,” ‎katanya.

Nur ‎Jazlan mengulas kenyataan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ismail Md Salleh yang berkata kenaikan tol itu melibatkan kenderaan Kelas 1 hingga Kelas 5 dari kedua-dua arah keluar dan masuk kompleks itu.

Menurut Ismail kenaikan kadar tol di kawasan itu adalah bersesuaian dengan perkhidmatan dan kemudahan yang dinikmati pengguna.

Jazlan mempersoalkan alasan LLM dengan berkata pengguna yang tidak melalui kawasan di tambak Johor itu tidak akan terjejas.

“Ia bermakna pengguna lalu lintas yang menggunakan EDL tetapi tidak masuk ke Singapura dikecualikan daripada bayaran tol.

"Tapi mereka yang menggunakan lebuh raya itu, terpaksa membayar tol dan secara langsung terpaksa menanggung kos pembinaan, jadi di mana keadilan di situ?" katanya.

Kadar tol baru arah masuk Malaysia, kenderaan yang dibahagikan antara lima kelas iaitu kereta persendirian, teksi, bas dan sebagainya ialah RM9.70; RM14.70; RM19.70, RM4.80 dan RM7.80.

Manakala kadar tol arah keluar pula mengikut kelas masing-masing adalah RM6.80; RM10.20; RM13.60; RM3.40 dan RM5.50.

Kadar lama sejak Januari 2011 bagi arah masuk dan keluar adalah bagi kenderaan ialah RM2.90; RM4.50, RM6.10, RM1.40 dan RM2.30.

Sementara itu Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dari DAP juga turut bersependapat dengan Nur Jazlan sambil menggesa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tampil memberi penjelasan berkenaan terma dan perjanjian konsesi Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang berlaku ketika zaman pentadbiran beliau.

Katanya meskipun sudah lebih 20 tahun PLUS mengutip tol di CIQ namun tiada khidmat membina lebuh raya yang dilakukan.

Katanya kutipan PLUS selama lebih 20 tahun di Tambak Johor dijangka sejumlah antara kira-kira RM 867 juta dan 1.5 bilion dimana ia cukup untuk menanggung kos membina EDL yang menelan kos RM 1.4 bilion.

"Tol di kutip oleh PLUS selama ini adalah sepatutnya untuk tujuan membekalkan khidmat lebuh raya antara KIK Johor Bahru dan kemasukan (PLUS) di Pandan seperti dibekalkan oleh EDL buat masa ini.

"Oleh itu kerajaan persekutuan sewajarnya mengumumkan terma dan syarat perjanjian konsesi di antara kerajaan dan PLUS untuk mengutip tol di KIK Johor Bahru sama ada termasuk syarat syarikat konsesi itu sepatutnya menyiapkan lebuh raya menggabung KIK Johor Bahru dan Lebuh Raya Utara-Selatan, " katanya.

Beliau berkata berdasarkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohd Yaacob menyatakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada September 2012 kerajaan akan menyerap kos membina EDL dengan membayar Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) iaitu syarikat konsesi yang akan bertanggungjawab membina lebuh raya itu.

"Kerajaan tidak sepatutnya menggunakan wang bendahara kerajaan atau wang simpanan rakyat termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja KWSP dan Tabung Haji untuk menampung kos pembinaan EDL.

"Oleh itu, saya menyeru supaya kerajaan persekutan mengelakkan kutipan tol bertindih di CIQ Iskandar Johor Baru yang akan membebankan rakyat serta melaksanakan pelan lebih telus demi memperlindungi kepentingan rakyat," katanya. – 27 Julai, 2014.