AJK PAS Pusat, Abu Bakar Chik meninggal dunia nahas jalan raya

AJK PAS Pusat, Abu Bakar Chik meninggal dunia nahas jalan raya

Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Bukit Besi jam 4.30 pagi tadi.

Pada masa ini, jenazah bekas Exco Terengganu (1999-2004) itu masih berada di Hospital Hulu Terengganu.

Abu Bakar merupakan bekas calon naib presiden pada muktamar tahun lalu dan pernah menjawat jawatan ketua Pemuda PAS.

Abu Bakar dipercayai dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur selepas menziarahi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kereta yang dinaikinya melanggar sebuah van jenis Vannete yang dinaiki enam penumpang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu Yahaya Ali berkata, kereta dinaiki Abu Bakar melanggar sebuah van yang berhenti di tepi jalan di LPT berhampiran Bukit Besi menuju Ajil.

Sebaik sahaja beliau dan pembantunya Hasmizi Hasan dibawa keluar, kereta yang dinaikinya itu terbakar.

Beliau meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Abu Bakar meninggalkan seorang balu, Zaitun Salleh dan lapan anak.

Jenazah Abu Bakar akan dibawa balik dari Hospital Hulu Terengganu ke Maahad Tahfiz wal Tarbiyah Darul Iman Tok Jiring, Kuala Terengganu untuk disembahyang dan dikebumikan selepas solat Asar hari ini. – 23 Jun, 2014.