Aksi sarkas krisis Selangor: Hadi pantau Khalid

Kemelut jawatan menteri besar Selangor bertukar menjadi aksi sarkas dan hari ini keseluruhan episod bertukar menjadi tidak munasabah.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor merangkap Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad mendedahkan hari ini Datuk Seri Abdul Hadi Awang membayangkan kemungkinan mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar semasa pertemuan dengan Pemuda Pakatan Rakyat (PR) daripada DAP, PKR dan PAS.

"Apabila ditanya tentang pandangan Tuan Guru Haji Hadi tentang jalan keluar isu ini, beliau memberi jawapan akhirnya adalah dengan mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Tuan Guru sendiri akan memantau kelemahan Tan Sri Khalid," kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Nazmi bagaimanapun berkata, pendirian tersebut bercanggah dengan persetujuan awal bersama DAP dan PKR yang mahu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi calon menteri besar Selangor bagi menggantikan Khalid.

Kenyataan berkonflik antara PKR dan DAP satu hal yang lain. Namun, idea itu sendiri adalah tidak masuk akal.

Satu, Hadi tidak layak memantau Khalid yang sudah dipecat daripada PKR kerana kedegilannya.

Tingkahlaku presiden PAS itu juga mencerminkan dirinya sebenar, seorang yang tidak menepati janji.

Persoalannya, adakah Khalid akan mendengar cakap Hadi? Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu juga enggan mendengar nasihat sesiapa pun dalam partinya sendiri, mengambil contoh dalam isu serius seperti pembinaan lebuh raya dan penstrukturan air di Selangor.

Kedua, rekod Hadi semasa memimpin kerajaan negeri adalah lebih buruk. Beliau menjalankan tugas dengan buruk semasa menjadi menteri besar Terengganu dari 1999 hingga 2004, sehingga PAS gagal menawan semula negeri tersebut walaupun wujud perpecahan dalam Umno.

Ditambah dengan sokongan membuta-tuli beliau kepada arwah Tan Sri Azizan Abdul Razak sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri Kedah yang dipimpin PAS pada 2013, pada ketika PR memenangi lebih banyak kerusi berbanding pilihan raya sebelumnya.

Dan bukankah Hadi, menjadi pemimpin PAS yang membangkitkan isu kerajaan perpaduan dengan Umno di Selangor jika ditekan untuk memastikan sokongan kepada Khalid?

Oleh itu, dimana logiknya Hadi boleh memantau Khalid dan memastikan PR kekal memerintah Selangor pada masa depan?

Aksi akrobatik politik Hadi dalam kemelut di Selangor menjadikannya daripada watak sampingan kepada watak utama. Membenarkan beliau bertindak mengikut caranya akan hanya menjadikan PR bahan jenaka kepada rakyat Selangor.

Dan satu-satunya pihak yang akan mentertawakan mereka adalah Barisan Nasional (BN), sama seperti mereka lakukan di Terengganu pada 2004 dan Kedah pada 2008. – 13 September, 2014.