Anak Nik Aziz iktiraf bekas ahli PAS ‘syahid’ di Syria

Lebih baik DAP keluar Pakatan, kata Nik Abduh

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengiktiraf Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah Lotfi Ariffin sebagai "syahid" apabila terkorban ketika berperang di Syria menentang tentera pemerintah Bashar Al-Assad.

Kenyataan itu dikeluarkan ahli Parlimen Pasir Mas itu di laman Facebooknya dengan memetik kenyataan Lotfi dan memuat naik anekdot perbualan terakhir Lotfi dengan Ketua Dewan Ulama PAS Pahang Mokhtar Senik.

Anak kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu memetik kata-kata Lotfi: "Seandainya seseorang itu tidak bertanggungjawab terhadap akhiratnya sendiri maka selayaknya dia tidak akan bertanggungjawab terhadap dunia orang lain.

"Dari itu apakah anda akan menyerahkan dunia anda kepada mereka yang tidak beramanah dengan akhiratnya sendiri," kata petikan dari Lotfi itu.

Nik Abduh memuat naik petikan kata berkenaan dan melabelnya sebagai "kata nasihat yang baik".

Laporan berkenaan kematian Lotfi dilaporkan melalui akaun Facebook, Abu Talhah II semalam, salah seorang lagi rakyat Malaysia yang turut berperang di Syria.

"Assalamualaikum, perginya seorang sahabat buat diriku, ulama dan mujahid buat ummah ini. Pemergiannya sangat dirasai kepada kami di sini, beliau tempat kami menadah ilmu dan membuat rujukan dalam permasalah ulama," tulis Abu Talhah di Facebook.

Gambar kenangan pemilik akaun tersebut bersama Lotfi juga diletak bersama-sama status untuk memberitahu tentang kematian seorang lagi rakyat Malaysia itu.

Lotfi sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan cedera parah dan koma selepas terlibat dalam satu pertempuran di negara bergolak itu, dipercayai akibat diserang hendap tentera Al-Assad di Syria.

Perkara itu disahkan abang sulungnya, Mohd Zainon Ariffin, 53, dan berkata keadaan adiknya semakin pulih daripada koma selepas cedera dalam serangan hendap tentera Al-Assad Selasa lalu, lapor Sinar Harian.

Zainon berkata dia dimaklumkan mengenai keadaan adiknya oleh rakan melalui laman Facebook.

Mokhtar dalam kenyataannya yang dikeluarkan Nik Abduh berkata Lotfi menemuinya dan meminta penjelasan berkenaan mimpi yang dialaminya, hujung tahun lalu.

"Itulah pertemuan terakhir dengan as syahid teman setahanan ana di Kamunting selama 3 tahun lebih. Moga Allah membeli dagangan as syahid," kata Mohtar, dalam kenyataan itu dipetik dari akaun Facebook Nik Abduh.

Lofti mencetuskan kontroversi Jun lalu apabila secara terbukanya mendedahkan kegiatannya di Syria dengan memuat naik gambar dan klip video di Syria di laman sosial.

Ia menyebabkan PAS bertindak memecatnya dengan menegaskan parti itu tidak pernah mengiktiraf ahlinya untuk berjuang dalam gerakan bersenjata.

Seorang lagi militan Malaysia adalah bekas anggota kumpulan rock Melayu, Ali Ukay. Beliau dikatakan dipengaruhi Lotfi dan menyertainya dalam perang saudara di Syria.

Lotfi dikatakan bertekad untuk tidak lagi kembali ke Malaysia dan itu antara pesanannya sebelum berlepas ke Syria. – 15 September, 2014.