Advertisement

Anwar bidas cara lemah MB Selangor tangani isu rampasan Bible

We are still looking for best way to return Bibles, says Azmin

Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas cara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam menangani isu rampasan Bible berbahasa Melayu yang dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di premis Persatuan Bible Malaysia (PBM) dan mendesak ia dipulangkan semula.

Ketua pembangkang itu berkata, kerajaan negeri sepatutnya mengambil tindakan tegas dalam isu tersebut dan tidak melepaskan diri daripada tanggungjawab.

"Kerajaan negeri tidak boleh lepas tangan dan perlu mengambil inisiatif.

"Mereka boleh pulangkan kembali kitab Injil yang dirampas. Kerajaan negeri perlu ambil tindakan tegas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Pada Januari lalu, Jais merampas lebih 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban dari pejabat PPBM.

Anwar juga mengkritik sikap Khalid yang masih menunggu tindakan Peguam Negara untuk menyelesaikan kemelut melanda kerajaan negeri tersebut.

"Nak serah kepada Peguam Negara kita sudah tahu dia tidak bertanggungjawab, dia jadi alat dan perkakas kepada Umno.

"Jadi dia tidak akan lakukan apa-apa untuk selesaikan," kata Anwar lagi.

Meskipun bersetuju supaya kitab Bible dipulangkan, Anwar menegaskan syarat perlu diberikan kepada pihak PBM di mana ia tidak boleh diedarkan kepada masyarakat Islam.

"Maka ia perlu diserahkan balik tapi diletakkan syarat yang pada saya boleh dipersetujui pihak gereja iaitu dilarang keras supaya tidak dibahagikan kepada umat Islam. Mungkin cara ini boleh diselesaikan," katanya.

Semalam, PBM mengumumkan hasrat untuk pindah dari Selangor dalam tempoh dua bulan ekoran insiden rampasan AlKitab oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Januari lalu yang masih tidak diselesaikan sehingga kini.

Khalid bagaimanapun berkata menghormati hak PBM yang mahu berpindah dan akan menunggu sehingga laporan siasatan daripada Pejabat Peguam Negara selesai sebelum memutuskan sama ada mahu memulangkan Bible kepada PBM atau tidak. – 16 April, 2014.