Advertisement

Anwar tidak tolak tarik diri tanding jawatan presiden PKR

Anwar tidak tolak tarik diri tanding jawatan presiden PKR

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak akan menarik diri daripada pertandingan jawatan presiden parti itu dalam pemilihan akan datang selepas mengambil kira faktor halangan yang mungkin dihadapinya.

Anwar berkata, sama ada beliau atau isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang akan menarik diri dan kemudiannya menerajui kepimpinan parti.

"Kami dibenarkan tarik diri, sama ada saya atau Wan Azizah yang akan tarik diri," kata Anwar pada sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.

Anwar dan Dr Wan Azizah sah bertanding bagi jawatan presiden selepas berakhir tempoh penamaan calon, bagaimanapun mengikut perlembagaan parti calon yang bertanding boleh menarik diri pada bila-bila masa.

Pengerusi pemilihan PKR, Datuk Johari Abdul juga mengesahkan perkara tersebut dalam satu sidang media hari ini.

"Ya, semua boleh tarik diri walaupun selepas berakhir tempoh.

"Cuma yuran yang mereka bayar untuk bertanding tidak akan dikembalikan semula sahaja," kata Johari.

Selepas pengumuman tersebut, pengkritik dan sumber dalaman parti menyifatkan langkah tersebut sebagai usaha untuk menghalang penyandang Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali daripada mencabar Dr Wan Azizah.

Azmin menafikan dakwaan tersebut meskipun pada saat akhir mengatakan berbincang dengan Anwar sama ada mencabar jawatan presiden ataupun kekal mempertahankan jawatannya.

Dalam isu berlainan melibatkan juga pemilihan parti, Johari berkata pihak jawatankuasa setakat ini masih belum meneliti laporan calon timbalan presiden, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang dikatakan menggunakan media arus perdana sebagai saluran kempen untuk menghentam lawannya.

Azmin juga didakwa menggunakan media arus perdana mengkritik seterunya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga menteri besar Selangor dalam isu air.

"Setakat ini, ia masih belum berada dalam agenda JPP (Jawatankuasa Pemilihan Parti).

"Tapi akan telitinya kemudian," kata Johari.

Pemilihan PKR akan bermula 25 April dan berakhir pada 11 Mei ini.

Seramai 500,001 ahli PKR layak mengundi pada pemilihan kali ini. Ahli PKR paling ramai adalah di Selangor dengan seramai 144,020 anggota, diikuti dengan Sabah sebanyak 86,955 anggota.

PKR melaksanakan pemilihan secara langsung bagi semua jawatan di peringkat cabang serta di peringkat Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT), termasuk jawatan presiden, timbalan presiden, empat naib presiden dan 20 anggota MPT. – 16 April, 2014.