Apa kerja PAS hari ini? – Izmil Amri

Rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Kenapa pahat masih berbunyi? Sebab ada tukang pahat yang sibuk menarik perhatian. Entah benda apa yang dipahatnya, bising sekali. Padahal tukang cat, tukang bancuh simen, tukang pasang wayar, semuanya sudah pulang ke rumah melayan anak isteri masing-masing.

Demikian adanya "krisis" pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang minggu lalu sudah membuat ramai orang menarik nafas lega. Lega kerana benda yang dipanggil krisis ini nampaknya sudah bikin lelah ramai pihak, hatta apa sahaja penyelesaian boleh diterima. Yang beriya tak mahu Azmin Ali jadi menteri besar pun akhirnya mengalah.

Mengalah kerana seperti juga rakyat yang lainnya, sudah tersangat letih dan malas fikir banyak. Selagi tidak selesai isu Selangor, selagi itu lah kerja lain tak boleh dibuat. Maka apa sahaja jalan selesai akan dipersetujui. Tak perlu cakap banyak lagi.

Namun malangnya ada tukang pahat ini, yang masih berbunyi-bunyi. Barangkali dia mahu orang tahu dia pun bekerja juga. Atau dia mahu tunjuk rajinnya, yang masih mahu memahat apa-apa yang boleh, supaya diiktiraf peranannya itu dalam proses membina rumah.

Krisis MB Selangor memang berpunca dari salah sukat teman-teman PKR. Nawaitu asalnya jelas mahu melengser Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dan digantikan dengan orang lain. Cuma sewaktu "Langkah Kajang" itu direncana, tidak ada kata putus tentang siapa yang akan menggantikan Khalid. Jadi ada sedikit serabut di situ.

DAP sebagai rakan yang setia dan barangkali memahami kelaku PKR yang suka buat benda pelik-pelik, sekadar menurut sahaja. Lagipun sudah memang konsensus bersama kerusi MB Selangor itu milik PKR, jadi dia punya pasallah apa dia nak buat.

DAP akur dengan setiap satu kerenah PKR. Sebaik sahaja diumum Langkah Kajang, ia bergegas membuka pusat operasi, dan menyatakan kesediaan membantu. Tak cakap banyak. Setelah tempoh hari diputuskan Azmin yang jadi MB dan bukan Datuk Seri Dr. Wan Azizah, DAP juga setia menyatakan persetujuan. Tak banyak bunyi.

Bagi DAP, Khalid mesti dilengser.

Yang tidak mahu Khalid dilengser ini PAS. Parti Islam tersebut ternyata menghasilkan lebih banyak kerenah berbanding PKR, dan menambah rumit kepada kerja yang sedia jenuh. PAS dengan cemerlang dan jayanya berfungsi seperti tikus membaiki labu, sambil mempertontonkan kepada umum betapa tunggang terbaliknya parti politik tersebut ketika muktamarnya berlangsung. Inilah dia pahat yang masih bising itu.

Kekalutan PAS ini bermula saat bocor perbualan Whatsapp pimpinan pusatnya, yang kemudian menimbulkan syak ramai pihak termasuk orang kebanyakan tentang keikhlasan PAS dalam bertahalluf bersama DAP dan PKR.

Itu kemudiannya disambut dengan langkah dangkal menyerang kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang dalam soal terowong bawah laut, yang akhirnya membuatkan Lim Guan Eng terpaksa memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen PAS Temerloh, Ustaz Nasrudin Hasan.

Tidak selesai itu, beberapa kali pula pimpinan utama PAS melakukan aksi u-turn dalam soal pencalonan MB, setelah mesyuarat memutuskan sebaliknya. Mulanya setuju Dr. Wan Azizah, kemudian tidak jadi. Kemudian katanya calonkan Azmin juga, namun akhirnya hantar nama Adun sendiri.

Tak habis lagi di situ, bergaduh pula di muktamar sampai Pengerusi Tetap terpaksa dikejarkan ke hospital kerana sakit dada dan sesak nafas melayan kerenah perwakilan. Perwakilan pula ada yang tabur fitnah samakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan Barisan Nasional, walhal perwakilan itu Ahli Majlis MPPP.

Kemudian meracau lah kata kena buli dan sebagainya. Eh, anak jantan kalau lari balik ke rumah mengadu kena buli, pastilah ditampar di belakang kepala. Apa punya lembik.

Persoalannya sekarang, setelah PAS kelihatan begitu kucar kacir (padahal PKR si pencetus masalah sudah berdamai dan maju ke depan) apa sebenarnya yang PAS sedang kerjakan?

Di saat orang sedang penat berkempen lawan Akta Hasutan, lawan politik ras, mendesak soal-soal ekonomi dan sebagainya, PAS seakan khayal dengan sesuatu yang tidak dapat kita pastikan.

Adakah masih wujud kelompok yang masih berahi mahu menikah dengan Umno sehingga angau kala pulang ke rumah Pakatan Rakyat? Kerana bibit-bibit serangan geng Kerajaan Perpaduan itu dapat kita saksikan dengan rancaknya serangan-serangan teman-teman dari PAS terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Malah sebenarnya kita dapat lihat betapa ada kumpulan di dalam PAS yang seakan begitu teringin mahu dihalau keluar dari rumah PR, demi berahinya terhadap Umno.

Seandainya sikap ini tidak dibetulkan, dan tanzim PAS tidak benar-benar muhabasah akan keadaan yang membelenggu parti ini, nescaya tidak mustahil ramalan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang Kelantan tidak lagi akan menjadi jajahan PAS.

Semalam ada teman-teman di laman sosial berkongsi gambar pimpinan PR di Kedah sama-sama bersarapan, dengan kapsyen bertulis "Kesepakatan kami sayang PR". PR di Kedah nampaknya sudah insaf dan sedar tugas melawan Umno hanya boleh dilakukan sekiranya ia dilakukan secara berjemaah.

Seandainya PAS gagal untuk menyedari hakikat keperluan bekerja secara berjemaah serta untuk kembali kepada konsensus dan dasar bersama PR, pastinya rakyatlah yang akan menanggung sengsara harus bertuankan Umno untuk beberapa generasi lagi. Dan PAS akan terpaksa membina semula tapak sokongannya yang roboh.

Jadi apa kerja PAS sekarang? Meraung lari pulang mengadu kena buli, atau mengesat air mata dan membalut luka untuk terus berjuang bersama PR demi kemaslahatan ummah? PAS fikirkan. Takkan saya pula kena tolong jawab? – 30 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.