Azmin cabar Mahkamah Persekutuan siar kes Liwat II secara langsung

Azmin tidak tersenarai anugerah Selangor, 2 exco PAS bakal bergelar ‘Datuk’

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali mencabar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menyiarkan secara langsung prosiding rayuan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan depan.

Azmin turut mempersoalkan pelantikan peguam Umno, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam pasukan pendakwaan kerana bimbang berlakunya unsur kepentingan peribadi dan berat sebelah.

"Takkan tidak ada peguam lain yang lebih layak?

"Beribu-ribu peguam di luar sana, kenapa perlu lantik peguam yang ada semangat Umno?

"Ini merupakan tindakan politik membunuh karier Anwar," katanya semasa ucapan penggulungan Kongres PKR di Stadium Shah Alam, hari ini.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 28 dan 29 Oktober ini mendengar rayuan terakhir Anwar berhubung sabitan bersalah dan hukuman penjara lima tahun atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.

Anwar diwakili pasukan peguam Datuk Sulaiman Abdullah, Ramkarpal Singh, N. Surendran dan Latheefa Koya, manakala Timbalan Pendakwa Raya diwakili Shafee Abdullah dan Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Mahkamah pada 14 Oktober nanti akan mendengar permohonan kali ketiga pihak pembelaan untuk menggugurkan Shafee, seorang peguam kanan, dari mengetuai pihak pendakwaan.

Pada 7 Mac lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwaan untuk mensabitkan Anwar bagi pertuduhan liwat. Anwar didapati bersalah terhadap pertuduhan meliwat Saiful di sebuah unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Balia Yusof Wahi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari, 2012, dan melepaskan Anwar.

Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan, dengan jaminan RM10,000 dan seorang penjamin.

Mengulas isu menteri besar Selangor, Azmin berkata krisis itu merupakan peluang menguji kesetiaan pemimpin dan ahli terhadap parti.

"Nak lihat sejauh mana anggota parti patuh dan setia kepada parti, membulatkan tekad menunjukkan kesetiaan kepada Azizah dan membawa parti ke tahap yang lebih cemerlang," katanya. – 24 Ogos, 2014.