Azmin jadi menteri besar hanya gimik politik Pakatan, kata Umno Selangor

Kenyataan Ismail Sabri realiti, bukan rasis, kata Noh Omar

Badan Perhubungan Umno Selangor mendakwa laporan yang mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali akan diangkat sebagai menteri besar Selangor hanya gimik politik.

Pengerusinya Datuk Seri Noh Omar berkata isu Pakatan Rakyat (PR) mahu menggugurkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor sudah lama berlarutan dan ia tidak lebih daripada "cakap tidak serupa bikin".

"Kita lihat saja sama ada mereka ini mampu atau tidak mengotakan apa yang dikata.

"Pembangkang lebih kepada cakap tidak serupa bikin," katanya kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi di Kuala Lumpur.

Portal Astro Awani Online hari ini melaporkan PAS dan DAP memberi persetujuan terhadap pelantikan Azmin yang juga timbalan presiden PKR sebagai menteri besar Selangor dalam satu pertemuan tertutup PR semalam.

Bagaimanapun, keputusan akhir dijangka diputuskan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

Portal itu memetik sumber berkata nama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga hampir pasti digugurkan daripada senarai calon menteri besar selepas PAS tidak memberi sokongan terhadap menteri besar wanita.

"PAS tidak setuju MB wanita, PAS mahu Azmin.DAP pula setuju Azmin tetapi hormat dan tunggu keputusan Anwar. Bagaimanapun Majlis Presiden Pakatan Rakyat akan mengadakan perbincangan akhir sebelum raya.

"Pelantikan akan dibuat selepas hari raya seperti yang dimaklumkan sebelum ini," kata sumber itu kepada Astro Awani.

Noh berkata, perkhabaran Azmin akan diangkat sebagai menteri besar bukan sesuatu yang mengejutkan kerana PR sifatnya memang suka mengheboh-hebohkan.

Beliau berkata, disebabkan gimik politik PR yang berpanjangan di Selangor maka apa yang dibimbangkan adalah kemajuan negeri itu akan terjejas.

"Jadi kita hendak lihat sebab Langkah Kajang pun sudah lama berlalu.

"Kita tunggu dan lihat. Sebab mereka memang suka buat gimik politik begitu. Mereka lebih suka berpolitik daripada memikirkan kepentingan rakyat. Siapa pun jadi menteri besar jika Pakatan mengamalkan politk jatuh menjatuhkan antara satu sama lain, Selangor tidak akan maju," katanya.

Semalam, Sekretariat Majlis Setiausaha Agung PR Datuk Mustafa Ali berkata, satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat, antaranya kemungkinan membincangkan isu menteri besar Selangor.

Katanya, nasib Khalid mungkin akan ditentukan dalam majlis presiden PR yang dijangka bermesyuarat sebelum Aidilfitri hujung bulan ini.

Anwar berkata pada Sabtu, perbincangan untuk menyingkirkan Khalid sebagai menteri besar Selangor dilakukan secara dalaman dan usaha berkenaan tidak dilakukan secara tergesa-gesa.

Beliau berkata, Khalid setakat ini menjalankan tugasnya dengan baik terutama dalam urus tadbir kewangan negeri.

Anwar berkata, kemelut menteri besar di Selangor tidak boleh dibiarkan berpanjangan kerana ia akan mencemarkan imej PR di mata rakyat.

Katanya, terdapat badan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang sudah mula mendesak parti reformasi itu untuk membuktikan prestasi mereka berbeza dengan kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) dulu.

"Ini kerana jangkaan mereka tinggi dan ramai yang mahu tahu terutama komen NGO yang tidak berpuas hati dengan apa berlaku.

"Mereka mahu prestasi berlainan di antara kami dan BN untuk prestasi lebih baik," katanya pada satu majlis berbuka puasa di kediamannya di Segambut, Kuala Lumpur. – 15 Julai, 2014.