Baju tulisan ayat al Quran: Jangan cepat menghukum, kata bekas mufti

Asri dilantik semula mufti Perlis

Meskipun menjadi kesalahan bagi seseorang memakai pakaian tertulis ayat al Quran, masyarakat negara ini tidak boleh terlalu cepat menghukum, kata bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Apatah lagi menganggap individu tersebut sebagai musuh Islam tanpa menyelidik latar belakangnya terlebih dahulu.

Katanya, mereka yang tersalah menggunakan ayat al-Quran mungkin tidak bermaksud menghina agama, namun ia berlak‎u kerana kurangnya pemahaman tentang Islam.

"Memakai pakaian yang ada ayat al Quran memang boleh membawa kepada perbuatan memperlekehkan ayat-ayat suci itu. Ia satu kesalahan. Namun bukan semua orang tahu ataupun sedar kesan perbuatan itu.

"Mereka ‎ mungkin tidak bermaksud untuk menghina tapi tidak tahu adab-adab sewajarnya," katanya dipetik dalam laman Facebook DrMaza.com hari ini.

Bekas mufti itu menulis status berkenaan dipercayai mengulas mengenai penyebaran gambar wanita pertengahan umur memakai baju yang mempunyai tulisan ayat al Quran pada minggu lalu.

Turut tersebar sekeping lagi gambar menunjukkan seorang lelaki berbaju kurta putih mengangkat jari telunjuk kanan seolah-olah memberi amaran kepada wanita berkenaan sambil diperhatikan pekerja pasaraya berkenaan.

Ahad lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan pihaknya mula menyiasat kes seorang wanita itu yang gambarnya tersebar luas di media sosial sejak semalam.

Khalid berkata, hasil siasatan awal mendapati wanita itu warga Korea yang baru tiba di Malaysia dan memakai pakaian yang dibelinya di India.

“@PDRMsia sudah mula siasat kes ‘makcik’ tu. Dia Korean, baru sampai sini, beli baju tu di India. Biar kita siasat lanjut. Semua bersabarlah,” katanya melalui akaun Twitter miliknya @KBAB51.

Selain itu, Mohd Asri juga menggesa masyarakat Islam di negara ini agar bertindak matang selain tidak terus menghukum tanpa mengetahui latar belakang sesuatu perkara.

"Dalam hidup ini kita hendaklah membezakan antara tindakan seseorang yang bertitik-tolak daripada permusuhan, dengan tindakan seseorang disebabkan kesilapan atau salah faham.

"Justeru, sebelum menghukum kita hendaklah tahu latar belakang tindakan mereka, berbicara dengan matang sebelum bertindak kasar menghukum," katanya. – 23 Julai, 2014.