Bangun masyarakatku – Ooi Kok Hin

Anjing oh anjing

Aku cemburu dengan engkau

Begitu mudah dan pantas

Engkau mendominasi minda dan wacana masyarakat

Atau mungkin masyarakat ini miskin

Ya, miskin

Walaupun moden di luar

Tetap miskin di dalam

Pelbagai masalah dan cabaran lain

Tetapi isu paling hangat adalah pasal anjing

Mungkin inilah sindrom masyarakat pasif

Yang disuap dengan berita remeh-temeh

Surat khabar dan rancangan televisyen

Penuh dengan berita hiburan, skandal artis, dan jenayah seksual

Sebagaimana input, begitulah output

Masyarakat ini masyarakat miskin

Kalau miskin pada luaran

Boleh dibantu dengan perancangan pembangunan dan pemberian BR1M

Kalau memilih untuk miskin pada dalaman

Tidak dapat diubati

Bangunlah masyarakat ku

Ya, cukuplah dengan kata-kata

“Cina cuba cabar Melayu bangkit”

Terima kasih, tapi aku tidak memerlukan pujian begitu

Tidak

Ini masyarakat aku juga!

Bangun masyarakat ku

Potensi kita jauh lebih hebat dari ini

Masa kita tidak wajar dibazirkan

Wacana kita sepatutnya padat dengan ilmu yang membina

Bangun masyarakat ku

Indonesia bakal mara dengan pimpinan Jokowi

Myammar sedang keluar dari kemiskinan dan kediktatoran

Singapura maju ke hadapan melalui sektor perkhidmatan dan penyelidikan

Malaysia diberi amanah memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa dan PBB

Bangun masyarakat ku

Pendapatan isi rumah tidak setaraf inflasi dan kos sara hidup, malah sarat berhutang

Sekolah kekurangan cikgu dan kemudahan asas, universiti tidak melahirkan pemikir dan inovasi

Ekonomi masih bergantung pada sektor kilang dan buruh kemahiran rendah

Harga rumah semakin mahal dan mengundang risiko gelembung perumahan

Bangun masyarakat ku

Berdepan dengan musuh yang sebenar

Sahut cabaran kurun ke-21

Demi tanah air Malaysia yang tercinta. – 21 Oktober, 2014.

* Penulis adalah pelajar jurusan Sains Politik dan Falsafah di The Ohio State University, dan mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua pembaca dan ingin rekomen filem "Mudhalvan" dan "3 Idiots", sempena musim perayaan ini.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.