Banjir di Pahang makin buruk, lebih 5,000 mangsa dipindahkan

Banjir di Pahang makin buruk, lebih 5,000 mangsa dipindahkan

Banjir di Pahang semakin buruk apabila lebih 5,000 mangsa dipindahkan di pusat pemindahan banjir di empat daerah, hari ini.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, daerah terlibat ialah Rompin, Kuantan, Pekan dan Maran.

"Di Rompin seramai 2,595 mangsa daripada 23 kampung terlibat ditempatkan di enam pusat pemindahan," katanya.

Katanya, di Pekan sebanyak enam kampung terlibat dengan 341 mangsa dipindahkan ke enam pusat pemindahan.

Di Kuantan seramai 1,824 mangsa daripada 23 kampung dipindahkan ke 23 pusat pemindahan.

Di Maran, 633 mangsa banjir dari sembilan buah kampung ditempatkan di tujuh pusat pemindahan.

Keadaan banjir dijangka bertambah buruk berikutan hujan lebat berterusan sejak dua hari lepas.

Menurut jurucakap, Jambatan Sungai Charu di Kilometer 28 Jalan Sungai Lembing-Kuantan ditutup kepada semua kenderaan berikutan air naik setinggi satu meter. - Bernama, 3 Disember, 2013.