Advertisement

Bank perlu kemas kini sistem pengkomputeran ATM, kata Musa Hassan

Reopen Altantuya case, Dr M’s questions need answers, says former IGP

Institusi kewangan perlu mengambil inisiatif sentiasa memperkemas sistem pengkomputeran mesin juruwang automatik (ATM) mereka bagi mengelak penjenayah siber melarikan wang di dalamnya dengan mudah.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata sepatutnya pihak bank menyedari keperluan perkembangan teknologi semasa yang sentiasa pesat berubah dan menjadikan sistem pengkomputeran lama mudah rapuh dan diceroboh.

“Terlalu banyak bijak pandai dalam IT (teknologi maklumat) sekarang, maka kita perlu adakan sistem keselamatan mantap bagi mengelak kejadian ini berulang,” katanya yang juga Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC).

Beliau diminta mengulas laporan mengenai sindiket yang dipercayai dari Amerika Latin yang melarikan wang tunai lebih daripada RM3 juta setelah menggodam 17 mesin ATM di Selangor, Melaka dan Johor.

Namun dalam penggodaman itu, tiada pemilik akaun dilaporkan kehilangan wang mereka.

Musa berkata kesediaan untuk menaik taraf sistem pengkomputeran adalah sesuatu yang serius dan tidak boleh diambil lewa. Katanya pihak bank juga wajar memantau setiap pegawainya kerana dikhuatiri mereka turut terbabit dalam memberi kerjasama kepada sindiket.

"Bagi pihak bank, mereka perlu mengawasi setiap pegawai yang diambil bekerja. Sebagai contoh, awasi data kakitangan dan latar belakang mereka," katanya.

Penganalisis Jenayah, Datuk Akhbar Satar mencadangkan perlu wujud perisian baharu yang boleh mengesan sebarang kecurigaan dalam perisian sedia ada.

"Sebagai contoh, jika terdapat sesuatu transaksi pengeluaran yang kerap berlaku dalam jumlah yang banyak, tanda amaran akan keluar daripada sistem berkenaan untuk memaklumkan kepada pihak bank," katanya.

Akhbar juga mencadangkan agar pihak bank mewujudkan sistem rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat mesin ATM ditempatkan dan dibuat secara tersorok serta rakamannya secara siaran langsung dan dipantau pihak bank.

Baginya kejadian rompakan boleh dielak jika institusi kewangan mengambil inisiatif untuk sentiasa memantau sistem keselamatan terkini bagi mengelak bank daripada mudah diceroboh.

"Apabila sesuatu perisian diperkenalkan, kita perlu lebih ‘tujuh langkah ke hadapan' bagi mencegah kemungkinan sistem diceroboh.

"Bank-bank tempatan khususnya yang terlibat di bahagian IT, perlu peka apa juga maklumat dan perkembangan IT yang berlaku bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara,” katanya. – Bernama, 30 September, 2014.