Advertisement

Pihak bantah projek insinerator perlu lihat sendiri timbunan sampah, kata menteri

Appointment of local councillors is still democratic, says minister – Bernama

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan cuba menggembirakan penduduk bandar di seluruh Malaysia.

Permasalahan dalam perkara itu adalah, menteri berkenaan perlu menyelesaikan isu insinerator di Kepong, di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur menjelang pertengahan 2015.

Perkara itu bagaimanapun tidak menggembirakan penduduk berhampiran lokasi insinerator tersebut.

Rahman bagaimanapun berkata, rakyat Malaysia seharusnya mengikis mentaliti "bukan berhampiran kediaman saya", sebaliknya pergi melihat sendiri timbunan sampah di pusat pelupusan sampah untuk memahami alasan beliau meluluskan insinerator tersebut.

Beliau berkata, rakyat harus sedar keperluan insinerator di Lembah Klang kerana jumlah sampah yang dihasilkan setiap hari semakin bertambah dan memenuhi tapak pelupusan sampah dalam tempoh tujuh tahun.

Penggunaan insinerator juga dicadangkan untuk dilaksanakan di Melaka dan Johor Baru.

Beliau jelas kesal dengan pendirian penduduk Kepong membantah pelaksanaan berkenaan. Malah, beliau turut kecewa apabila dituduh bersetuju dengan penggunaan insinerator dan memperolehi sesuatu daripadanya.

"Kementerian hanya membayar tip setiap tan sampah dan tidak membayar satu sen pun bagi pembinaan loji tenaga.

"Itu tanggungjawab pembida yang berjaya," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan kos pembinaan insinerator berkenaan meskipun kumpulan "Kepong Tak Nak Insinerator (KTI) mendakwa kos insinerator itu sekurang-kurangnya bernilai RM800 juta.

Rahman berkata, walaupun insinerator itu dibina di Kepong, ia bukan berhampiran kawasan kediaman, keutamaan aspek kesihatan dan keselamatan turut diambil kira.

Beliau turut memahami tiada pihak inginkan insinerator dibangunkan berhampiran kediaman mereka, namun itu adalah keputusan terbaik memandangkan pusat pembuangan di Taman Beringin digazetkan untuk aktiviti lain.

Beliau berkata, pusat pemindahan bahan buangan di Taman Beringin akan dinaik taraf dan menghasilkan tekanan bagi menghentikan bau busuk bahan buangan.

Beliau berkata, pihak berkuasa turut menghantar pemimpin pembangkang dan mereka yang membantah pembinaan insinerator ke Tokyo, Jepun untuk melihat insinerator dibina berhampiran sekolah dan hospital tanpa sebarang masalah.

Pihak yang begitu keras menentang projek itu adalah KTI dan Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming.

"Mereka (KTI) sering bertukar matlamat untuk menang.

"Mula-mula isu kesihatan, sekarang mereka kata penduduk tidak bersedia. Mereka kerap tukar matlamat," kata Rahman.

Beliau turut kecewa apabila Ong, yang sering bercakap dengan KTI menuduhnya penipu.

"Sesetengah pihak lari daripada objektif mereka untuk manfaat sendiri. Ong sangat politikal dengan perkara ini dan kata saya penipu. Kenapa beliau gelar saya penipu? Beliau hanya keluar kenyataan yang populis," kata Rahman.

Ahli Parlimen Kota Belud itu berkata, pembangkang yang disertai Ong sendiri ingin membina insinerator di Selangor.

KTI semalam menuduh Rahman enggan bertemu mereka malah enggan menjawab surat mereka.

"Menteri tidak cukup berani untuk bertemu kami. Beliau berbohong melalui pegawainya," kata Pengerusi KTI Isaiah Jacob.

"Langkah mayat kami dulu sebelum insinerator itu dibina," katanya.

Rahman berkata, beliau cuba melakukan yang terbaik dengan mengadakan pertemuan bersama rakyat malah turut menghantar pegawainya bertemu penduduk Kepong, namun KTI dan Ong sering tidak mengendahkan usahanya.

Beliau berkata, sikapnya yang proaktif ekoran sampah semakin menggunung dengan pusat pelupusan sampah semakin sedikit.

Semua sampah di kawasan Lembah Klang akan dihantar ke pusat pemindahan bahan buangan di Taman Beringin sebelum dipindahkan ke pusat pelupusan sampah Bukit Tagar, sejauh 80km.

Rahman berkata, dengan sesetengah kawasan memiliki insinerator, jumlah lori sampah akan berkurangan ke Bukit Tagar sekali gus mengurangkan pembebasan karbon.

Konsesi pusat pelupusan sampah Bukit Tagar, KUB-Berjaya Enviro, mengakui mereka khuatir kesan penggunaan insinerator terhadap bahan buangan mereka.

Mereka berkata, tapak pelupusan sampah dijangka mampu digunakan lagi untuk mengisi sampah sehingga 70 tahun, jadi tiada keperluan insinerator secara tergesa-gesa.

Rahman bagaimanapun berkata:"Bukit Tagar tidak lama lagi akan melalui proses urbanisasi, kemudian apa? Kita masih perlukan Bukit Tagar kerana insinerator hanya mampu melupus 1,000 tan sampah, selebihnya ke pusat pelupusan. Kita juga perlukan tapak pelupusan untuk abu daripada insinerator," katanya.

Tapak pelupusan sampah di Taman Beringin hari ini mengendalikan sekitar 2,500 tan sampah.

"Kadang-kala kerajaan terpaksa membuat keputusan sukar, meskipun rakyat membantah. Mereka akan faham sekiranya kita telus. Ini demi kebaikan komuniti. Rakyat Malaysia mahu fasiliti kelas pertama tetapi tidak mahu membayarnya," katanya.

Beliau berkata, kegagalan usaha 3R (Kurangkan, Kitar Semula, Guna Semula) menunjukkan rakyat Malaysia memerlukan masa yang lebih panjang.

"Kita tidak boleh tunggu lagi 40 tahun, dan saya mencadangkan bahan buangan kepada tenaga, bukan hanya insinerator - yang akan mengeluarkan tenaga. Jika hantar sampah ke Bukit Tagar tiada tenaga akan terhasil," kata Rahman.

Ketika dimaklumkan Bukit Tagar mempunyai panel solar dan penghasilan bahan buangan kepada tenaga, Rahman berkata loji bahan buangan kepada tenaga yang dicadangkannya jauh lebih baik.

"Saya mahu berhubung dengan penduduk, namun tidak bermakna saya perlu terima apa yang mereka katakan," katanya, yang kini mengakui sukar untuk meyakinkan penduduk pembinaan insinerator di Kepong adalah baik untuk rakyat. – 14 Julai, 2014.

Nota editor: Laporan ini diperbetulkan berdasarkan kenyataan setiausaha akhbar menteri terlibat.