Benarkah Liow Tiong Lai menggigit Ibrahim Ali? – Amirrul Jeffery Igai

Untuk tempoh beberapa hari yang akan datang saya meminta Presiden MCA, Liow Tiong Lai agar mempunyai keinginan untuk rehat sebentar menjadi seorang vegetarian, buat sementara waktu. Ini adalah kerana, makanan tambahan untuk tenaga kekuatan dalaman presiden MCA harus diperolehi daripada sumber yang baru.

Makanan baru yang saya cadangkan untuk kekuatan dalaman bagi Liow Tiong Lai datangnya daripada daging katak. Sama ada Liow Tiong Lai mahu atau tidak, itu terserah.

Kawan saya dari kaum Cina cakap daging katak itu sedap dan mempunyai khasiat yang tersendiri. Kawan Cina saya pernah tanya, “you tak mau try makan ke?’, saya balas balik, "nanti saya punya Tuhan marah, kalau darurat punya jam itu lain cerita”.

Saya harap pembaca budiman jangan tersalah tafsir, apabila saya menyebut tentang katak tidak bermakna yang saya setuju dengan anda, katak itu adalah Ibrahim Ali dan tidak semestinya Ibrahim Ali itu katak.

Memang lumrah katak untuk melompat ke sana dan melompat ke sini. Akan tetapi, saya tidak setuju, kalau anda memanggil Ibrahim Ali itu katak hanya disebabkan Ibrahim Ali suka melompat-lompat dari parti Umno kepada Bebas, dan daripada Bebas, melompat pula mendampingi PAS, lepas itu melompat balik mengawan dengan Umno. Jangan begitu, Ibrahim Ali adalah Ibrahim Ali dan katak adalah Ibrahim Ali … oppsssss. Salah, dan katak adalah katak.

Mengaitkan Ibrahim Ali dengan nama katak adalah fitnah di dalam gelap. Ianya sama seperti mengaitkan Datuk Seri Najib Razak yang melompat-lompat lari apabila Datin Seri Rosmah Mansor sedang mengamuk. Itu juga fitnah. Orang yang membuat cerita ini tidak lain tidak bukan, kalau bukan kerja Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang bergosip dengan sekawan lembu sambil memerah susu lembunya.

Saya pernah melakar di tulisan yang lepas bagaimana sekolah vernakular adalah pro-perpaduan, dan bukan penghalang perpaduan. Saya penat mengulang banyak kali, dan letih untuk mengitar semula kisah yang senang untuk dihadam.

Alkisah tentang NGO yang kononnya memperjuangkan hak kaum majoriti di negara ini menyerah memorandum, agar meminta Putrajaya menutup mulut kumpulan pendidikan yang menurut mereka, bersifat radikal seperti Dong Zong melalui membatalkan pendaftaran mereka.

Kalau begitu, saya juga ingin melihat Putrajaya menutup mulut NGO berhaluan kanan yang extremist di negara ini dibatalkan juga pendaftarannya. Atas sebab ianya bersifat pelampau kaum dan agama dan sering membangkitkan isu-isu yang sensatif dan tidak popular.

Perkasa menggesa Putrajaya menjelaskan kepada rakyat kaitan antara Dong Zong dengan "Suqiu", sebuah "pergerakan ultra-chauvinis" Cina yang pernah membuat 83 tuntutan dari Putrajaya pada 1999. Modus operandi projek mengolah persetujuan dan menakut-nakutkan kaum majoriti di negara ini, adalah sama seperti mana kumpulan yang duduk satu tongkang dengan Perkasa, menakutkan kaum majoriti, DAP ialah PAP dan PAP ialah DAP. Dong Zong dan DAP sama- sama dijadikan hantu cina.

Sementara Najib melaungkan slogan kesederhanaan , PM pernah berkata, Umno tidak boleh menutup sekolah Cina sekiranya ia hendak meningkatkan sokongan kaum Cina. Isteri Rosmah, oppss…. Maaf, si suami Rosmah ini menambah lagi, ini kerana tidak mungkin sokongan orang Cina dapat ditingkatkan jika pada masa yang sama kita menuntut sekolah Cina ditutup dan dimansuhkan.

Apabila membaca berita seperti di atas, adalah harus untuk kita mengumpul dan mencantumkan dengan situasi yang berlaku baru-baru ini di hadapan mata kita semua. Petakan semua berita ini agar ianya menjadi satu, atau kaedah lain, iaitu orang putih kata "read between the line" – membaca maksud yang tersirat. Soalannya, apa maksud yang tersirat itu?

1). Saya dengan penuh harapan tinggi Najib akan berpegang pada kata-kata dan komitmen beliau pada SJKC dan SJKT. Tidak mungkin beliau mensabotaj kata-kata keramat beliau sendiri, di kala Najib sedang nazak sokongan dari kaum Cina.

2). Umum mengetahui orang-orang kuat Umno seperti Tun Dr. Mahathir Mohammad, A. Kadir Jasin, Tun Daim Zainudin, Tengku Razalegh Hamzah dan Zainuddin Maidin tidak gembira dengan gaya pentadbiran Najib. Orang kuat Umno ini tidak gembira di atas pentadbiran Najib kerana tidak mendapat kontrak untuk melaksanakan projek mega kerajaan …opppsss. Salah – pembetulan – sebab tidak mendapat BR1M.

3). Dari lenggok bahasa yang saya faham, kumpulan orang kuat Umno ini meminta dengan bahasa yang baik dan halus agar Najib perlu menilai semua corak kepimpinannya. Berita ini menjadi rahsia umum. Sama ada Utusan Malaysia dan TV3 ada menyiarkan itu saya tidak tahu.

3A). (untuk pembaca Cina). 4). (untuk pembaca bukan Cina). Disebabkan PM buat-buat tidak tahu dan tidak mahu melayan kritikan sekawan orang kuat Umno agar beliau mempertimbangkan semula polisi dan corak pentadbiran kerajaannya, maka orang-orang ini mengerakkan kumpulan jentera untuk menekan Najib. Saya menipu? Sila tanya Ibrahim Ali, penasihat Perkasa itu siapa?

5). Menggerakkan kumpulan jentera saya maksudkan ialah timbulnya cadangan untuk memansuhkan sekolah vernakular, dan isu ini terus diulang-ulang dan lagi-lagi diulang NGO seperti Perkasa dan kumpulan NGO satu tongkangnya untuk membuatkan Najib mengalami tekanan perasaan .

6). Apabila Najib mengalami tekanan perasaan, maka Najib wajib dihantar ke Klinik 1Malaysia ciptaan beliau sendiri. Membuatkan batang tubuh bernama Najib ini terus tertekan dan tertekan adalah penting untuk memastikan beliau terus lemah dan layu. Bila Najib lemah dan layu, maka lebih senang kerja mengusung Najib ini keluar dari gelanggang Umno.

Akhir kata, di sebalik kekuatan seorang lelaki, muncul tubuh seorang perempuan. Kumpulan orang kuat Umno ini lupa di belakang Najib ada Rosmah. Selamatnya Najib dari jawatannya, kerana kumpulan orang kuat Umno begitu takut dengan wanita pertama Malaysia (first lady of Malaysia).

Ketakutan Mahathir, A. Kadir Jasin, Daim, Tengku Razalegh dan Zainuddin Maidin kepada Rosmah bukan kerana badan Wanita Pertama ini besar, tetapi kumpulan orang kuat Umno ini takut mereka akan menghadapi masalah yang lebih besar dari besarnya cincin yang berharga RM 24 juta.

Apa kena mengena semua ini dengan Liow Tiong Lai? Tiada kena mengena, melainkan beliau seorang presiden Persatuan Cina Malaysia (MCA). – 23 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.