[BERITA] JUMLAH AKAUNTAN PROFESIONAL BUMIPUTERA PERLU DITINGKATKAN - AHMAD

KUANTAN, 13 Jun (Bernama) -- Jabatan Akauntan Negara perlu memperkenalkan

lebih banyak insentif untuk meningkatkan lagi jumlah akauntan profesional

Bumiputera di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata pada masa ini jumlah

akauntan profesional Bumiputera hanya tujuh peratus daripada keseluruhan 27,000

akauntan berdaftar dengan pelbagai badan profesional di negara ini.

"Kalau kita ambil kira jumlah tujuh peratus itu, boleh kita rumuskan bahawa

ia amat kecil dan perlu diberi perhatian.

"Oleh itu saya syorkan kepada pihak berkenaan seperti Jabatan Akauntan

Negara atau mana-mana agensi kerajaan lain agar memberikan insentif khas untuk

menarik lebih ramai akauntan Bumiputera berdaftar dengan badan profesional,"

katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Persidangan

Akauntan Sektor Awam Malaysia 2013 di sini, hari ini. Seramai 415 akauntan

daripada pelbagai sektor perkhidmatan awam menghadiri persidangan dwitahunan

itu.

-- LAGI

AHMAD-AKAUNTAN 2 (AKHIR) KUANTAN

Ahmad turut meminta akauntan bumiputera mengubah persepsi dan tidak terlalu

selesa dengan pencapaian yang dimiliki walaupun telah bergelar akauntan

bertauliah.

"Mereka perlu menambah nilai kelulusan yang ada dengan mengambil peperiksaan

yang disyorkan oleh badan akauntan bertauliah antarabangsa. Jika orang lain

boleh, mengapa mereka (akauntan Bumiputera) tidak," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata sistem perakaunan tunai ubah yang diguna pakai

kerajaan persekutuan dan negeri pada ketika ini akan diubah kepada sistem

perakaunan akruan bermula tahun 2015.

Beliau berkata sistem perakaunan baharu itu adalah selaras dengan Dasar

Transformasi Sektor Awam yang digariskan dalam Model Ekonomi Baru yang telah

diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pelaksanaannya akan memberi kesan signifikan dalam pengurusan berhemat

serta dapat mempertingkatkan kecekapan pengurusan kewangan dan perakaunan

kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

"Sistem ini juga dapat mempersiapkan ekonomi negara bagi mencapai taraf

negara maju menjelang 2020 kerana sistem ini telah pun diguna pakai di negara

maju yang lain," katanya.

-- BERNAMA

NF NF SN

Loading...