Advertisement

Anda, Facebook & Privasi…

Facebook, sebuah laman sosial yang tidak perlu saya terangkan lagi mempunyai makna besar dalam hidup pengguna. Dengan lebih 800 juta pengguna aktif di seluruh dunia (atau mungkin 1/8 daripada penduduk dunia), Facebook pastinya platform terbaik untuk menghubungkan diri dengan keluarga atau rakan. Masalahnya, mana-mana laman sosial atau apa saja yang berlegar di Web 2.0 tidak akan selamat sepenuhnya dan terancam dengan masalah privasi.

Baru-baru ini saja, timbul pula cakap-cakap dan kemaskini status yang meminta kita melungsurkan kursor ke nama profil seterusnya menukar tetapan pada ikon 'setting' yang kononnya untuk mengelakkan status atau profil mereka terdedah di carian umum. Ia tidak salah dan sebenarnya ia tetapan dan nasihat dari Facebook sendiri sejak sekian lama. Namun sebenarnya, isu ini mudah, selagi anda berada dan SUDAH aktif dalam Facebook atau mana-mana laman sosial lain dan berada di dunia Web 2.0, tiada apa yang privasi. Kalau tidak percaya, taip nama anda dan cari di internet, sampai celah manapun ia akan terpampang di skrin.

Apa yang boleh anda lakukan sekarang mungkin mengurangkan carian tersebut dengan memperbaiki dan menukar beberapa ciri dalam laman sosial anda. Saya berikan contoh Facebook yang popular dan kerap digunakan kini ketika ramai yang tidak sedar bagaimana untuk menukarnya, mungkin malas membaca manual atau T&C yang panjang berjela.

1. Tukar Tetapan Privasi Facebook Anda

Menukar Facebook tetapan privasi anda harus menjadi perkara pertama yang dilakukan apabila membuka akaun Facebook. Ia membolehkan anda mempunyai beberapa kawalan ke atas orang lain untuk akses kepada maklumat anda. Anda boleh memilih untuk tetapan umum tetapi lebih baik kalau mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mendalami atau melalukan 'customize' pada tetapan privasi yang sesuai dengan anda. Ini bermakna anda boleh membuat perkara-perkara tertentu yang hanya dilihat individu-individu tertentu saja.

Account - Privacy Settings - Customize - Preview My profile

Jika anda meninggalkan akaun anda pada tetapan umum, kemudian rakan anda 'likes' apa jua yang dilakukan pada gambar atau status anda, maklumat yang dikongsi akan keluar pula pada suapan berita rakan-rakan Facebook. Jadi, apa yang anda mungkin lakukan hanyalah untuk berkongsi dengan keluarga dan rakan-rakan anda kini telah dikongsi dengan orang yang tidak dikenali!

2. Buang Facebook Apps (aplikasi Facebook) yang tidak diingini

Saya telah menggunakan Facebook setelah 8 bulan ia diperkenalkan dan hanya selepas beberapa tahun sudah banyak aplikasi Facebooks yang dimasukkan tanpa disedari. Setelah memeriksa tetapan privasi aplikasi saya, saya terkejut melihat bahawa saya telah memasang beratus-ratus aplikasi pihak ketiga yang sebenarnya mengakses maklumat saya. Satu aplikasi saja sudah cukup mendedahkan maklumat peribadi anda kepada umum, jadi kurangkan untuk bersetuju menerima sebarang aplikasi sewenang-wenangnya. Kenapa? Saya berikan contoh berita di bawah...

Ada agensi berita melaporkan penyangak siber mencipta 'Page' Facebook palsu seakan Page berkaitan 'Bagaimana Untuk Menjadi Ibu Bapa Yang Baik' tetapi ia sebenarnya Page palsu yang dimiliki seorang pedofil yang mencari mangsa mencari gambar budak kecil. Jika anda Like Page tersebut, secara automatik mereka mempunyai akses kepada gambar anak-anak anda, menakutkan bukan?
Cara membuangnya, sila ke Account - Privacy Settings - Apps and Websites

3. Jangan 'Check In' pada Facebook

Ok, ia mungkin nampak macam sangat sukar tetapi pada hakikatnya adakah anda mahu mendedahkan alamat anda atau apa yang anda lakukan untuk tontonan orang lain. Saya pernah nampak status rakan wanita saya begini: "Sorang2 di ofis, kerja tak habis lagi!" (Sambil menekan butang Check In dengan alamat syarikat terpampang di skrin saya). Adakah ia betul-betul perlu dilakukan?

Cara memperbetulkannya: Account - Privacy Settings - Customize settings - Places you check in to atau Account - Privacy Settings - Customize settings - Friends can check me in to Places

4. Jangan Letak Sebarang Info Peribadi Walaupun Ia Penting

Betul! Dan saya maksudkan apa jua maklumat yang mengenal pasti secara peribadi di Facebook. Ini bermakna tiada nombor telefon yang dilihat oleh orang ramai dan saya juga akan membuang senarai emel daripada profil. Jika orang mahu menghubungi anda, mereka boleh menggunakan ciri mesej Facebook. Jangan sekali-kali membuat rancangan untuk bertemu dengan rakan-rakan melalui Wall, tapi lebih baik menggunakan ciri mesej ini.

5. Tetapan Photo Albums Hanya kepada Rakan-rakan (Atau Orang Tertentu) Sahaja

Ramai yang ingat untuk menukar status atau mengawalnya tetapi ramai yang lupakan pasal gambar. Anda boleh memilih untuk hanya membenarkan keluarga untuk melihat gambar keluarga dan hanya rakan sekerja untuk melihat gambar-gambar berkaitan kerja.

Saya akan beri satu tip lagi iaitu Jangan sesekali masukkan gambar yang umum mengenai sekolab atau tempat kerja, misalnya di depan sekolah yang terpampang nama sekolah dan alamatnya atau pejabat sebab ia secara tidak langsung memberitahu orang lain di mana anda bersekolah atau bekerja.

6. Gunakan Alamat Emel Berasingan untuk Facebook

Ramai orang mendaftar Facebook menggunakan alamat e-mel seharian mereka. Anda mungkin menggunakan e-mel ini pada CV anda, untuk mendaftar ke laman web, masukkan alamat emel lain. Sebabnya, mana-mana orang boleh taip alamat e-mel anda dan mencari jika anda mempunyai akaun Facebook dengan hanya memasukkan alamat emel anda ke dalam enjin carian. Ini boleh bermakna orang asing berpotensi cuba untuk mengetahui tentang anda. Jika boleh, gunakan satu alamat e-mel hanya untuk Facebook.

7. Tetapkan Facebook Security Alerts

Pertimbangkan menetapkan tetapan keselamatan anda supaya anda akan diberitahu sama ada melalui emel atau telefon bimbit jika ada cubaan login yang tidak diiktiraf pada akaun Facebook anda. Jika ini pernah berlaku, tukar kata laluan anda dengan segera dan periksa halaman profil anda untuk melihat jika terdapat apa-apa aktiviti yang luar biasa. Juga semak mesej anda, khususnya folder Sent, untuk memastikan tiada mesej telah dihantar. Caranya Account - Security Settings

8. Tukar Kata Laluan Facebook Anda

Kata laluan perlu ditukar secara berkala. Pilih untuk campuran nombor, simbol dan huruf serta tidak menggunakan perkataan sebenar. Kata laluan yang anda gunakan untuk Facebook tidak harus digunakan untuk mana-mana laman web lain, ia perlu tidak menjadi kata laluan yang sama yang dikaitkan dengan emel anda,

Tip terakhir, adakah saya perlu taip apa saja dalam Status?

Sebelum menghantar sesuatu ke Facebook, anda perlu benar-benar mempertimbangkan jika ia adalah langkah untuk berbuat demikian. Sebagai contoh, saya tidak akan meletakkan tarikh saya lahir di Facebook, atau mendedahkan saudara mara saya yang lain di dalamnya. Ia nampak macam seorang yang paranoid tetapi sebenarnya, ia perlu dilakukan demi keselamatan saya, saudara mara atau rakan.