Apple Watch - Adakah ia berbaloi?

CEO Apple, Tim Cook menngucapkan kata hikmat ‘One More Thing’ sebelum mengumumkan produk baru ini. Ianya adalah jam tangan keluaran Apple dan dikenali dengan nama Apple Watch. Jangkaan orang ramai Apple akan mengeluarkan iWatch ternyata meleset kerana nampaknya Tim Cook mahu beralih dari penggunaan huruf ‘i’ di hadapan produk Apple.

Apple Watch menggabungkan teknologi sedia ada Apple seperti butang pada tetikus, roda klik pada iPod serta pelbagai-sentuhan pada iPhone. Apa yang pasti, sentuhan-pelbagai tidak sesuai digunakan pada skrin yang kecil seperti Apple Watch ini. Kerana itu, Apple memperkenalkan roda putar yang boleh ditekan, dikenali sebagai ‘Digital Crown’.

Putaran pada Digital Crown boleh digunakan untuk zoom-in dan zoom-out pada skrin. Di samping itu, ia boleh digunakan untuk melayari senarai tanpa menghalang skrin. Bila ia ditekan ke dalam, ia akan membawa balik ke skrin Home.

Ia menggunakan kaca sapphire sebagai skrin. Skrin sentuh ini memiliki sensor tekanan, yang membolehkan ia membezakan antara sentuh dan menekan.

WatchJam ini memilki empat LED di bahagian belakang, yang digunakan untuk mengesan denyutan nadi. Di samping itu, ia juga dilengkapi giroskop dan juga accelerometer. Di bahagian belakang jam ini juga merupakan pengecas, di mana ia menggunakan teknologi MaxSafe untuk mengecas secara magnetik dan tanpa wayar.

Terdapat 3 jenis Apple Watch iaitu kemasan getah untuk edisi-sukan, kemasan aluminum untuk edisi-biasa serta kemasan emas 18-karat untuk edisi khas. Tali jam tangan pula boleh ditukar ganti dengan pelbagai corak dan rekabentuk mengikut kesukaan pengguna. Di samping itu, Apple Watch datang dalam 2 bentuk skrin iaitu 38mm dan 42mm. Skrin yang lebih kecil dijangka akan lebih popular di kalangan wanita.

Antaramuka jam ini boleh diubahsuai dengan pelbagai rekaan. Terdapat rekaan yang berfungsi seakan widget, seperti antaramuka Astronomi yang menayangkan bumi dan bulan serta planet lain dalam galaksi ini. Ia boleh memaparkan fasa bulan samada mengambang atau tidak, serta kedudukan planet lain pada masa nyata.

Skrin jam akan hidup sendiri apabila pengguna mengangkat tangan. Beberapa notifikasi akan dipaparkan dan pengguna boleh membuang notifikasi yang sudah dibaca dengan menyapunya ke tepi.

Di samping itu, ia dilengkapi dengan pelbagai aplikasi yang sangat berguna. Ia boleh menyediakan pilihan jawapan untuk membalas mesej, setelah membaca dan memahami mesej yang dierima. Pengguna juga boleh membalas dengan pelbagai bentuk animasi emoji, ataupun menggunakan suara sahaja. Pembantu peribadi Siri juga terdapat pada Apple Watch, dan sedia menjawab segala persoalan yang timbul.

Terdapat juga aplikasi peta yang menggunakan GPS untuk mengesan kedudukan, serta navigasi jalan yang dilengkapi getaran yang bergetar untuk menunjuk arah ke kiri atau ke kanan.

Terdapat satu butang di bawah Digital Crown yang mengatifkan aplikasi Digital Touch. Ia merupakan satu aplikasi permesejan di mana pengguna boleh menghantar mesej kepada pengguna Apple Watch yang lain melalui lakaran dan lukisan. Pengguna juga boleh menghantar denyutan nadi mereka kepada pengguna lain, agar rakan mereka dapat merasai denyutan nadi pengguna secara masa nyata dari jarak jauh.

Apple menyediakan WatchKit untuk pembangun aplikasi membuat aplikasi untuk digunakan pada Apple Watch. Hotel Starwood menyediakan aplikasi yang membolehkan pengguna membuka kunci bilik hotel menggunakan Apple Watch. BMW juga menghasilkan aplikasi bagi memantau kereta elektrik siri-i mereka.

Paling penting sekali, ia dilengkapi aplikasi kesihatan dan kecergasan yang boleh memantau aktivit dan gerakan pengguna sepanjang hari. Dengan pengesan denyutan nadi, accelerometer, GPS dan WiFI, ia pasti menjadi peralatan kecergasan kegemaran ramai.

Jam tangan Apple Watch memerlukan telefon iPhone untuk berfungsi. Ia boleh digunakan dengan iPhone 5, 5C, 5S, 6 serta 6 Plus. Ia akan mula dijual bermula awal tahun 2015 pada harga USD 349 (~RM1100).