Advertisement

Azli Paat, pengalaman cendol yang sukar dilupakan

Negara kehilangan seorang tokoh dalam industri teknologi tanahair apabila saudara Dr Azli Paat meninggal dunia akibat demam panas di rumahnya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur, malam tadi.

Azli Paat nama yang sinonim dengan industri sering dikaitkan dengan SMS atau khidmat pesanan ringkas. Melalui teknologi yang diperkenalkan beliaulah, manfaat SMS diperluas dengan inovasi DAPAT atau 32728.

Angka itu pasti membawa makna besar kepada pengguna. Angka itulah yang digunakan untuk Rakan Cop, pertandingan futsal, stesen TV, radio dan sebagainya. 32728 dimulakan untuk membolehkan SMS dihubungkan secara berangkai.

Bekas graduan Universiti Iowa dan anak kepada pemandu teksi itu bukan seorang yang cepat mengalah. Beliau banyak belajar dari pengalaman. Teknologi DAPAT yang beliau berjaya hasilkan sejak lebih 10 tahun lalu pun idea asli yang sukar ditandingi. Oleh itu, kita boleh membayangkan arwah Azli sebagai individu atau usahawan atau 'evangelist' yang mula-mula mengembangkan teknologi mudah alih di Malaysia.

Ketika ramai orang menggunakan SMS hanya untuk komunikasi dua hala yang terhad kepada berkomunikasi dengan satu individu saja, arwah melontarkan idea interaktif untuk memperluaskan fungsinya. Inovasi SAHABAT untuk KLfm dan Rakan Cop antara pengguna awal kemudian sistem sama dikemaskini menjadi semakin meluas.

Beliau tokoh yang saya kenali mungkin sejak 2006. Beliau seorang rajin, merendah diri dan penuh ilmu teknologi. Tanya apa saja pendapat tentang teknologi, Azli orang yang tepat untuk menjawabnya. Jawapannya pun bernas dan penuh fakta. Mungkin sesuai dengan ijazah berkaitan teknologi yang diperolehnya ketika di Amerika Syarikat.

Idea teknologi beliau juga bukan idea ciplak dan syok sendiri. Ketika ramai orang berkata mereka mempunyai teknologi yang akhirnya 'kantoi' hanya meniru teknologi sedia ada di luar negara, Azli orang yang mempunyai ciptaannya sendiri walaupun mungkin tidak nampak di mata kasar.

Arwah tidak pernah bongkak. Pernah sekali saya perasan beliau sedang minum cendol di tepi jalan di Bangsar, beliau tidak sedar saya berada di sebalik lori si penjual cendol. Di sebelah Azli, ada lagi tokoh korporat yang makan rojak di berborak bersama dua tiga orang kawan sambil menunjukkan kebanggaan diri walaupun pada hakikatnya saya tahu dia tidak mempunyai apa-apa dari segi buah fikiran, Azli hanya diam menikmati cendol beliau, langsung tidak masuk campur. Tokoh korporat itu memandang Azli seakan beliau hanya seperti 'mat despatch' (maaf, saya tidak berniat untuk menghina) mungkin kerana Azli memakai baju oren syarikatnya. Lalu di tepi Azli pun tokoh itu pandang atas bawah sambil mencebik saja.

Kali terakhir berbual melalui telefon kira-kira sebulan lepas, arwah pandai berborak dan ketika berborak pun, isinya tidak pernah kosong. Sering saya pelajari bermacam-macam idea baru ketika bersama beliau.

Mengungkap kisah beliau, sekembali ke tanah air pada 1986, Azli tiada pekerjaan, namun beliau tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk berdiam diri. Beliau berkeringat mengusahakan perniagaan cetakan kad.

Tidak lama selepas itu, Azli menceburi bidang penjualan komputer tetapi setelah beberapa tahun berkhidmat di sebuah syarikat swasta sebagai pegawai teknikal dengan pendapatan RM750 sebulan.

Menjelang 1990, Azli menubuhkan syarikat, Emacs Sdn Bhd yang terlibat dalam pengimportan dan pemprosesan komputer. 13 tahun selepas itu, bersama rakan, Sabri Rahman mereka menubuhkan Interactive Vista (M) Sdn Bhd sebelum ditukar nama ke DAPAT Vista (M) Sdn Bhd.

Syarikat berkenaan mahu menjadikan televisyen lebih interaktif, termasuk melayari internet melaluinya. Bagaimanapun, untuk memperoleh kotak televisyen interaktif masa itu timbul masalah kerana memerlukan kos tinggi untuk mengimportnya.

Akhirnya, cubaan demi cubaan, kedua-duanya mendapat idea mewujudkan sistem SMS dari telefon bimbit ke televisyen. Buat pertama kali, ia diperkenalkan melalui stesen radio KLFM pada 2004.

Walaupun beliau terlibat dengan perniagaan berkaitan SMS, Azli masih meneroka dan mencipta inovasi lain namun hasratnya kini sudah tergendala. Semoga kita dapat mendoakan Azli Paat ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.