Bajet ICT

  • Rebat sebanyak RM200 bagi pembelian telefon pintar jenis 3G untuk remaja berusia 21 hingga 30 tahun yang berpendapatan bulanan RM3000 dan ke bawah secara 'one off' atau sekali saja.

  • 100 pusat Internet 1Malaysia dari tahun 2013 hingga 2015 dalam kawasan bandar yang membabitkan kawasan perumahan rakyat atau PPR yang diuruskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Kos sehingga RM150 juta.

  • Program Get Malaysian Business Online (GMBO) bagi membantu 50,000 usahawan kecil terutamanya wanita

  • 'New Entrepreneur Foundation' (NEF) akan ditubuhkan dengan peruntukkan sebanyak RM50 juta bagi membantu usahawan muda dalam bidang ICT.

  • Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (SPTH) ketika bajet 2010 diteruskan dengan dana berjumlah RM1.5 billion dan akan berakhir 31 Disember 2012.

  • Peruntukkan sebanyak RM600 juta untuk lima universiti bagi menjalankan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang strategik seperti nano teknologi, automatif, bioteknologi dan aeroangkasa.

Itu intipati Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak semalam berkaitan ICT. Lebih 6 'point' penting yang ada disenaraikan. 5 daripadanya memang tidak dinafikan boleh memberi manfaat kepada rakyat.

Ada yang diperoleh terus kepada pengguna seperti pemberian RM200 bagi pembelian telefon pintar.

Saya ingin mengutarakan sedikit pendapat. Apabila disebut rebat sebanyak RM200, pengguna perlu membeli terus daripada pelan yang ditawarkan sedia ada oleh mana-mana syarikat telekomunikasi dilantik. Ia bermakna, pengguna sendiri perlu melanggan pelan tertentu antara setahun hingga dua tahun.

Sebabnya, syarikat telekomunikasi hanya menawarkan pelan pasca bayar atau postpaid sahaja. Saya ambil contoh satu pelan murah iaitu yang ditawarkan DiGi di mana anda perlu membayar RM48 sebulan (tidak termasuk kos pembelian telefon).

Katakanlah saya membayar RM48 (dengan kapasiti maksiumum internet 1GB) selama setahun atau RM48 X 12 bulan, anda akan mendapati jumlahnya sebanyak RM576. Jadi anda membayar kira-kira RM576 selama setahun dan pada bulan-bulan serta tahun-tahun berikutnya selagi harga pelan dikekalkan begitu.

Daripada jumlah tersebut, cukai kerajaan akan dikenakan sebanyak 6% daripada jumlah RM48 tadi. Oleh itu, anda akan membayar cukai sebanyak RM2.88 sebulan. Jika jumlahnya didarab 12 bulan, anda akan mendapati kadar pembayaran sebanyak RM34.56 kepada kerajaan.

Harga telefon pintar pula kalau mahu melihat senarai yang ditawarkan termasuk Samsung Ace Plus dan Nokia Lumia 610 yang kedua-duanya berharga RM699. Selepas ditolak diskaun tersebut, anda akan mendapatnya pada harga RM499. Belum lagi diperjelaskan bagaimana rebat itu akan dibayar, adakah melalui potongan cukai atau pemberian baucer. Rasanya, lebih berat kepada potongan cukai.

Apa yang cuba disampaikan ialah rasional pemberian diskaun tersebut. Jika dilihat dari aspek celik ICT, langkah itu memang tepat tetapi kalau dilihat dari segi perbelanjaan individu, ia mungkin membebankan pengguna sendiri pada masa depan.

Lebih-lebih lagi, telefon pintar yang ditawarkan syarikat telekomunikasi bukan telefon pintar 'cap ayam' atau produk buatan China yang murah. Pengguna juga perlu komited dan memberi komitmen dengan membayar bil telefon setiap bulan. Kalaulah pengguna itu sendiri tidak mampu berbelanja untuk mendapatkan telefon pintar, apa jaminan mereka mampu membayar bil telefon sebanyak RM48 sebulan untuk tempoh yang lama?

Sebenarnya langkah tersebut memang dasar yang baik tetapi jangan kita menggalakkan pembelian sesuatu yang kita tidak betul-betul mampu untuk mendapatkannya. Kalau poket penuh, barulah beli. Itu belum bercakap mengenai soal pendidikan berkaitan telefon. Kalau sebelum inipun, sudah banyak kes merakam benda tidak berfaedah dalam telefon bimbit biasa, takut nanti lagi teruk kes moral di kalangan remaja.