Beli laptop game ASUS ROG kalau berani!

Biasanya laptop game akan ditawarkan pada harga mahal namun dengan ASUS G551, ia menjadi lebih murah pada prestasi yang baik.

Siri-G dari ROG yang baru ini menampilkan peningkatan mendadak dari model sebelumnya, dengan penggunaan CPU Intel Core i7 dan grafik terkemuka Nvidia Geforce GTX yang memacu grafik permainan agar lancar pada tetapan tertinggi.

Notebook ASUS ROG G551 ini menggunakan papaaran IPS bersudut lebar yang boleh dilihat dari mana-mana arah. Ia mempunyai resolusi HD penuh 1920×1080. Malah, ia boleh memberikan paparan 4K atau Ultra HD dengan menggunakan sambungan Trinity Display pada HDMI dan Display port untuk paparan pelbagai pada monitor atau TV lain.

Rekaan dan kemasan pada notebook ini memberikan rasa yang berbeza padanya. Ia menggunakan kemasan aluminium yang diberus berwarna hitam matte, dan juga warna merah berlian di tepinya. Di samping itu, logo ROG berlampu terletak di atas penutupnya.

Papan kekunci pada notebook ini direka khas untuk pemain tegar yang mampu menerima tekanan berterusan atasnya. Ia mempunyai lampu belakang dengan warna khas pada butang WASD bagi kelancaran permainan. Walaupun dipenuhi perkakas berprestasi tinggi, sistem penyejukannya sangat senyap dalam proses membuang haba keluar dengan tahap bunyi kipas yang minima.

CPU Intel Core i7 generasi keempat serta kad grafik Nvidia GeForce GTX 860M digunakan untuk menggerakkan prestasi tertinggi yang diperlukan pemain. Tetapan tertinggi pada permainan pasti lancar dengan gabungan kedua-dua prosesor ini.

Bunyi pada notebook ini dikuasakan oleh SonicMaster Premium bagi menghasilkan bunyi yang jelas berkualiti tinggi dan didatangkan dengan aplikasi ROG AudioWizard dengan lima mod pratetapan yang boleh diubah segera mengikut kesesuaian pengguna. ASUS juga menambah amplifier untuk headphone di dalamnya kerana pemain tegar sering menggunakan headphone untuk bunyi yang lebih jelas ketika bermain.

Notebook ASUS ROG G551 boleh didapati dalam dua versi iaitu model DM052H dengan 4GB RAM dan GeForce GTX860M 2GB GDDR5 pada harga RM3.499 yang boleh dibeli mulai minggu hadapan. Manakala model DM053H pula mempunyai 8GB RAM dan GeForce GTX860M 4GB GDDR5, dijual pada harga RM4,099 yang dijangka tiba pada penghujung bulan Oktober.