Advertisement

#CDM25 Peugeot: Gambar & Meme Kejadian

Dalam masa kurang 24 jam video seorang wanita memegang pengunci stereng kenderaan yang dikatakan membuli seorang pakcik tersebar meluas di internet tidak kira YouTube, Facebook atau Twitter.

Dalam Twitter saja, trending #CDM25 menduduki tangga teratas. Video tersebut menunjukkan wanita memukul kereta pakcik yang dikatakan melanggar kereta jenis Peugeot berwarna putih yang baru dibeli. Berang dengan kemalangan tersebut, wanita itu keluar dari kenderaannya dengan memegang pengunci stereng sebelum memukul kereta pakcik tersebut beberapa kali.

Pada awal video tersebut, wanita tersebut turut merampas kunci kereta pakcik itu yang mengatakan dia tidak sengaja melanggar kenderaan Peugeot putih tersebut. Malangnya, wanita tersebut terus memarahi dengan memegang stereng.

Wanita tersebut juga meminta pampasan RM2,000 dengan meminta pakcik tersebut membayarnya pada masa itu juga. Wanita tersebut juga mengatakan pakcik tersebut melanggar kenderaannya Peugeotnya dengan sengaja. Malah, wanita tersebut juga meminta pakcik itu melihat nombor plet kenderaannya.

Kejadian tersebut dikatakan mengakibatkan kesesakan lalu lintas memandangkan kereta tidak dapat dialihkan kerana kunci yang dirampas tidak dipulangkan.

Warga internet mengecam tindakan tersebut termasuk ahli politik dan selebriti. Malah, ramai juga warga internet menjadi penyiasat persendirian sehingga mendedahkan identiti lengkap wanita berkenaan termasuklah alamat rumah, nombor telefon, gambar, akaun facebook dan sebagainya.

Akibatnya page tersebut 'diserang' orang ramai dari malam semalam hingga ke hari ini. Namun difahamkan, akaun Twitternya ditutup berikutan tidak tahan dengan serangan warga internet.

Selain itu, keluarlah 'meme' atau foto-foto yang disunting sehingga ia menjadi bahan jenaka di kalangan warga internet.