Ciri-ciri dalam Android 5.0 Lollipop

Bermula dari Cupcake (A&B boleh diabaikan … betul), kemudian menghasilkan Donut, Eclair, Froyo, Gingerbread, Honeycomb, Ice Cream Sandwich, Jelly Bean dan KitKat. Semuanya kelihatan manis sekali, tapi jaga-jaga. Sebab Google baru sahaja melepaskan Androidnya yang paling manis kini. Inilah dia, Android Lollipop dengan kod bernombor 5.

Google mengatakan Android 5.0 Lollipop membawa perubahan paling besar pernah mereka bawa untuk kemaskini Android. Ia boleh dilihat bermula dengan tiga butang utama Android iaitu Home, Back dan Recent Apps bertukar kepada ikon yang lebih asas, iaitu segitiga, bulat dan segiempat.

Dari segi notifikasi, ia memberi kawalan lebih pada pengguna seperti memilih dari siapa atau aplikasi mana, serta menetapkan masa yang dibenarkan, dengan pilihan terpenting yang boleh mengatasi tetapan tadi.

Lollipop mampu memberi jangka hayat lebih panjang kepada bateri dengan fungsi tambahan penjimatan tenaga di saat kecemasan. Ia kini akan memberitahu berapa lama masa diperlukan untuk mengecas sebelum bateri habis, dan juga menyatakan bila masa bateri dijangka penuh ketika mengecas.

Keselamatan Lollipop turut dipertingkatkan. Ia boleh mengaktifkan enkripsi data bagi melindunginya di kala telefon ini hilang atau berada di tangan yang tidak sepatutnya. Arahan SELinux juga diaktifkan pada semua aplikasi agar bebas virus dan malware. Lock Screen kini boleh dibuka dengan menggunakan peranti lain dengan meletakkannya berhampiran, seperti jam tangan ataupun kereta.

Android yang terkenal dengan perkongsian mudah, kini memudahkannya lagi. Ia kini mempunyai daftar masuk pelbagai pengguna. Pemilik boleh meminjamkan peranti kepada rakan, dan rakan tadi boleh mendaftar masuk infonya sendiri tanpa mendapat akses kepada info pemilik sendiri. Malah, satu peranti boleh dikongsi bersama oleh pelbagai pengguna, dengan daftar masuk berlainan.

Paling utama, Android Lollipop menjanjikan prestasi lebih baik, dengan penggunaan ART, runtime serba baru yang lebih pantas dan responsif. Lollipop juga kini menyokong arahan 64-bit, membawakan prestasi komputer desktop ke tangan pengguna.

Untuk lebih banyak makumat berkenaan fungsi terbaru Android 5.0 Lollipop, lawati lamanweb Android di: Android Lollipop 5.0