Advertisement

DAUNPISANG YAHOO BERLIN: Samsung Galaxy Note 4, Hebat Sangat

image

Bertempat di Tempodrom Berlin, Samsung mengumumkan model terbaru di dalam siri Galaxy yang mempopularkan istilah phablet iaitu Galaxy Note 4. S-Pen, fungsi yang membuatkan Galaxy Note sangat istimewa dan unik berbanding telefon pintar lain, kini telah dipertingkatkan lagi fungsinya.

Peningkatan dari aspek perkakasan pastinya menjadi bualan ramai. Galaxy note 4 mengekalkan skrin bersaiz 5.7 inci seperti Galaxy Note 3, tetapi menggunakan resolusi lebih tinggi iaitu Quad HD 2560×1440 dengan paparan Super AMOLED seperti Galaxy Tab S. Dengan itu, paparan multi-window juga diperbaharui dengan fungsi lebih mudah untuk memaparkan lebih dari 1 aplikasi sekaligus dalam pelbagai saiz tingkap.

Satu aspek yang pasti menjadi tumpuan ramai ialah kamera. Galaxy Note 4 dilengkapkan dengan kamera belakang 16mp yang disertakan penstabil imej optikal untuk mengurangkan gegaran sekaligus mengelakkan kabur pada gambar. Manakala kamera hadapan dilonjakkan ke 3.7mp dengan f1.9 untuk gambar lebih jelas. Fungsi baru yang terdapat pada kamera hadapan kali ini ialah, panorama shot untuk mengambil gambar sehingga 120 darjah lebar. Selain itu, selfie boleh diambil lebih mudah dengan hanya menekan ruang LED di belakang.

Jangka hayat Note 4 juga dipertingkatkan, bukan dengan peningkatan kapasiti bateri yang kekal pada 3220mAH, tetapi dengan pengenalan Fast Charging & Ultra Power Saving Mode. Fast Charging membuat bateri Note 4 50% penuh dalam masa 30 minit, berbanding 55 minit sebelum ini. Ultra Power Saving Mode yang diperkenalkan pada Galaxy S5 sebelum ini, memastikan Note 4 kekal hidup dengan fungsi asas seperti panggilan dan sms.

image
image
image
image
image
image
image

Tidak dilupakan, Note 4 disertakan dengan lebih banyak mikrofon untuk mengesan suara dari pelbagai arah, di samping pembesar suaranya dipertingkatkan dengan fungsi nyah-bising agar suara lebih jelas ketika bercakap dan didengari. Dengan ini, Voice Recorder boleh dibuat dengan lebih baik kerana pengguna boleh memilih 8 sudut suara untuk merakam lebih ramai orang sekaligus dan Selective Playback pula boleh memilih beberapa suara dipadamkan agar suara orang yang dikehendaki sahaja didengar.

Fungsi baru yang terdapat pada Galaxy S5, kini terdapat pada Note 4 juga, iaitu pengimbas cap jari dan sensor degupan jantung. Kini ia ditambah lagi dengan sensor UV, yang mungkin boleh digunakan ketika di pantai untuk memastikan krim apa yang sesuai dipakai untuk mengelakkan kulit dibakar cahaya matahari.

S-Pen yang menjadi identiti utama Note 4, kini dilengkapkan dengan fungsi lebih baik. Sensor tekanannya yang dinaiktaraf untuk menghasilkan lakaran pelbagai saiz mengikut tekanan. S-Pen juga dapat bertindak seperti tetikus, untuk memilih perkataan dengan lebih mudah dan pantas. Manakala fungsi gunting pada S-Pen untuk copy-dan-paste mempunyai fungsi lebih baik dengan pilihan pelbagai untuk mengedit gambar mahupun perkataan.

Sesuai dengan namanya iaitu Note, pengambilan nota mempunyai banyak pilihan dengan 5 aplikasi nota iaitu Pen Note untuk melakar menggunakan S-Pen, Snap Note yang boleh mengambil gambar dan mengesan formula yang terdapat pada gambar sekaligus terus menghasilkan carta atau graf yang berkaitan dengannya. S-Note pula adalah aplikasi utama penggunaan S-Pen yang boleh menukar perkataan yang ditulis dengan S-Pen kepada teks dan disimpan. Text-Note adalah aplikasi Nota berasaskan penggunaan papankekunci dan akhir sekali Voice Note untuk rakaman suara yang kini pasti lebih pelbagai guna dengan berbilang mikrofon pada Note 4.

Dari segi luaran, Galaxy Note 4 dilengkapkan dengan penutup belakang boleh cabut yang menggunakan material lembut seakan kulit yang hampir sama seperti Note 4. Bahagian tepi Note 4 dibuat dengan lingkaran besi tetapi seakan seramik, menjadikannya lebih selesa untuk dipegang. Perlu diingatkan, Galaxy Note 4 bukan peranti kalis air dan debu, seperti Galaxy S5. Tidak pasti mengapa Samsung tidak menjadikannya kalis air dan debu, tetapi berkemungkinan untuk memastikan fungsi S-Pen boleh digunakan dengan lebih baik.

Khas buat profesional, Samsung mengumumkan kerjasama dengan Mont Blanc untuk menghasilkan S-pen eksklusif buat profesional yang mahu sentiasa kelihatan elegan. Samsung juga akan menghasilkan case dari kristal Swarovski untuk penggemar fesyen.

Galaxy Note 4 dijangka akan mula diedarkan di seluruh dunia pada Oktober 2014. Jika mengikut sejarah pelancaran sebelum ini, Malaysia akan termasuk dalam kumpulan pertama jualan produk utama Samsung Galaxy. 4 pilihan warna didatangkan untuk Note 4 iaitu Charcoal Black, Frost White, Bronze Gold dan Blossom Pink. Harganya dijangka akan sama seperti ketika Note 3 dilancarkan.