Advertisement

Debaran Apple, Blackberry & Microsoft

Dalam tempoh 24 jam, 3 syarikat kelihatan cuba berlumba-lumba menampilkan produk mereka dalam tujuan yang berlainan. Apple, RIM dan Microsoft! Ketiga-tiganya mahu mahu menjadikan tahun ini sebagai tahun bertuah dengan pantas mengumumkan produk baru takut-takut ketinggalan dengan tujuan yang berbeza.

Apple misalnya menghasilkan iPad 128GB menumpukan pada storan, RIM pula mengeluarkan Blackberry 10 takut nanti terus merundum dan menerima nasib seperti Nokia manakala Microsoft dengan Office baru, terus menguasai fungsi produktiviti.

Pengumuman Apple iPad SKU baru dengan storan 128GB adalah 'serangan taktikal' yang menarik. Walaupun pengguna menyukai pilihan tambahan dan pengguna tegar pula akan berduyun-duyun mencari kapasiti lebih besar, pengeluar tablet berasaskan Android pasti memikirkan strategi lain dengan pantas kalau tidak mahu ketinggalan..

Dengan meningkatkan tahap tertinggi penyimpanan pada iPad, ia akan memacu persepsi orang ramai ke arah 'tablet harus mempunyai storan 128GB'. Tablet 128GB telah dilihat sebagai sasaran psikologi ke atas pengguna untuk melihat iOS sebagai peranti dalam perspektif berbeza.

Paling penting untuk Apple, mereka menjadi pengeluar pertama dengan kadar storan melangkaui maksimum 64GB yang ditawarkan sekarang.

Persaingan masih berada di sekitar, bayangkan kita mempunyai Nexus 10 pada 16GB atau 32 GB, Galaxy Note pada 16GB ke 64GB. PlayBook BlackBerry (masih wujudkah?) 16GB ke 64GB atau Kindle pada 16GB hingga 32GB bagi saiz tujuh inci atau dan 64GB untuk 8.9.

Apple telah mendahului kesemua pengeluar dengan langkah mengejut. Tiada siapa yang menjangkanya. Mungkin Apple berjaya mengalih tumpuan pengguna lebih kepada iPhone masa depan dan secara tiba-tiba pantas mengumumkan iPad 4 128GB. Ia bermakna pengeluar lain akan perlu mula menawarkan ciri-ciri komputer yang lebih tinggi dalam simpanan atau menghadapi risiko ketinggalan dalam perang spesifikasi.

Ia menunjukkan Tim Cook memahami ekosistem pengeluaran. Di bawah bimbingan beliau Apple mempunyai akses yang lebih baik dan memberi keutamaan kepada pembekal komponen yang lebih daripada majoriti pengeluar lain. Ipad 4 dengan 128GB akan berada di kedai-kedai dalam masa tujuh hari dan persaingan dilihat memberi kelebihan kepada mereka.

RIM pula memperkenalkan beberapa ciri baru BlackBerry 10 termasuk skrin sentuh, navigasi penuh, stor aplikasi BlackBerry World yang lebih lengkap, BlackBerry Hub untuk integrasi semua aktiviti pengguna, sambungan laman sembang Blackberry Messenger dengan lebih 3,000 aplikasi dan perkhidmatan suara.

Telefon skrin sentuh Z10 yang terdedah awal di internet pasti memberi nafas baru kepada RIM untuk menyaksikan sekurang-kurangnya Blackberry lebih mendapat tempat di hati pengguna. Namun, mungkin kita akan menjangkakan penggunanya di sekitar pemakai Blackberry saja. RIM mungkin tidak akan mendapat pengguna baru yang agak banyak.
Satu lagi model dengan papan kekunci yang menjadi tanda Blackberry iaitu X10 pasti lebih mencuri tumpuan memandangkan pemakai papan kekunci fizikal masih ramai di luar sana. Apa yang RIM lakukan hanya dengan menumpukan ekosistem terutama melibatkan aplikasi dan menumpukan pembangunan aplikasi tempatan. Memandangkan ada laporan mengatakan pembangun lebih untung jika mencipta aplikasi untuk Blackberry, RIM perlu berusaha meyakinkan mereka yang Blackberry masih relevan.

X10 mempunyai cip dwi-teras 1.5 GHz TI OMAP 4470, skrin 3.0 inci dan menyokong LTE selain kamera 8 megapiksel juga mempunyai geo-tagging, pengesan muka dan HDR serta mempunyai keupayaan video 1080HD.

Microsoft? melancarkan perisian Office baru di Malaysia hari ini yang lebih canggih dengan perubahan besar kepada beberapa fungsi Words, OneNote, Excel dan PowerPoint yang disasarkan kepada pengguna biasa dan perniagaan tentunya menguntungkan.

Apatah lagi, Office 365 yang ditawarkan pada harga semurah RM24.99 sebulan boleh dikatakan baik namun lebih penting, pengguna mendapat manfaat yang meningkatkan produktiviti kerja seharian sama ada anda pengguna biasa, pelajar atau pekerja.

Pengenalan Office baru sejajar dengan persediaan syarikat itu untuk mendahului teknologi pejabat moden selepas melancarkan sistem operasi Windows 8 yang diperkenalkan.

Office mempunyai perubahan besar-besaran daripada aspek rekaan yang lebih intuitif supaya dapat beroperasi dengan baik dalam pelbagai penggunaan seperti sentuhan pada tablet, pen stylus, menggunakan tetikus atau papan kekunci asalkan ia peranti berasaskan Windows.

Antara ciri baru diperkenalkan Office termasuk cara membaca dokumen dalam Words, fungsi OneNote yang lebih baik, fungsi mesyuarat termasuk perkongsian serta suntingan dokumen dan komunikasi perkhidmatan cloud lebih bersepadu.

Wah! Perlumbaan teknologi 2013 baru membuka gelanggangnya!