DSLRaya, Mana Satu Pilihan Anda?

Hari raya biasanya membangkitkan semangat fotografi di kalangan pengguna. Tak percaya? Sedar atau tidak, ia aktiviti yang biasa kita lakukan...Bayangkan ketika bersolat sunat hari raya di masjid, anda merakam gambar, balik rumah sebelum bersalaman rakam dulu gambar rendang di atas meja, bersalaman dengan ibu bapa atau sanak saudara anda akan minta atau ada orang yang rakamkan gambar anda, betul kan?

Ada yang memilih telefon tetapi gajet paling utama dalam fotografi masih tertumpu kepada kamera dan trend sekarang mendorong pengguna di Malaysia memilih kamera jenis DSLR. Saya boleh cadangkan beberapa kamera yang bersesuaian untuk kemeriahan hari raya dengan ciri yang menarik dan menambah keceriaan warna-warni Aidilfitri.

1. Nikon D3200
Senarai yang pertama dimulakan dengan model Nikon D3200 iaitu kamera DSLR sesuai untuk orang yang baru berjinak dengan dunia fotografi apabila kamera ini menawarkan sensor imej baru CMOS dibantu pula ketajaman resolusi 24.2 mega piksel, prosesor EXPEED 3 yang bertahap tinggi di samping fungsi panduan baru yang lebih senang dikendalikan.

Kamera sama turut membolehkan pengguna merakam video berkuasa tinggi apabila DSLR tersebut yang dilengkapi kemudahan merekod video bersaiz 1920 x 1080/30p itu adalah antara kamera DSLR menarik raya 1433H kali ini.

Sebabnya, penggunaan sensor imej baru DX-Format CMOS dan prosesor imej EXPEED 3 mampu memberikan imej yang tajam dengan definisi tinggi, mewah dengan warna dan penakrifan imej yang lebih baik.

Tidak dilupakan, ia juga memberikan pengurangan bunyi ketika keadaan cahaya yang sensitif di tempat gelap manakala fungsi panduan baru yang ditambah untuk kamera ini menjanjikan kemudahan kepada si pemakai dalam mengendalikan pelbagai tugas yang ditawarkan bersamanya. Tambahan pula, ia juga mmepunyai garis panduan elektronik.

Lebih menarik, Nikon D3200 boleh memindahkan data tanpa wayar ke telefon pintar dengan penggunaan peranti tanpa wayar WU-1a. Apa fungsinya, ia memungkinkan perkongsian gambar lebih mudah dan pantas. Saya juga tertarik dengan fungsi kawalan telefon pintar berasaskan sistem operasi Android yang boleh dimuat turun. Ia seakan alat kawalan jauh yang menarik. Harganya? Lebih kurang RM1,900 ke RM3,000 bergantung kepada lensa yang dipilih.

2. Canon EOS 650D

Kamera ini dipilih bukan kerana Yuna menjadi dutanya tetapi ia benar-benar kamera unik yang perlu diberikan perhatian kalau anda mahu memilih kamera hari raya.

Ia lengkap dengan skrin sesentuh dengan teknologi resolusi 18 megapiksel serta prosesor imej DIGIC 5 yang ditambah pula kekuatan 5 rakaman sesaat.

Saya tertarik dengan tawarn kamera tersebut yang boleh pula memberikan kelajuan ISO menjangkau hingga 12800 manakala fokus secara automatiknya ditambah bagi memberikan tangkapan gambar lebih laju yang disokong juga Hybrid System baru AF CMOS. Skrin yang boleh disentuh itu pula menggunakan teknologi khas iaitu Teknologi Pengesan Senario EOS yang boleh meningkatkan tahap pendedahan cahaya yang tepat untuk rakaman menarik dalam pelbagai situasi manakala untuk meningkatkan pengalaman DSLR.

Kamera DSLR ini juga bertuah kerana Canon sanggup memperkenalkan dua lensa baru - EF40mm f/2.8 STM serta EF-S18-135mm f/3.5-5.6 IS STM.

Jangan risau kalau anda berada di luar rumah pada malam hari bermain bunga api kerana mod malam untuk menangkap gambar pada waktu malam yang indah boleh dilakukan dengan baik. Lebih-lebih lagi ia boleh menangkap empat foto serentak sebelum menggabungkannya pada satu imej sempurna.

Harganya, ia boleh didapati bermula RM2,599 dengan bateri boleh tahan sehingga 440 rakaman foto.

3. Olympus E-5

Model ini telah dikeluarkan sejak tahun lepas tetapi kalau mahukan kategori DSLR yang baik, ia masih relevan dan anda boleh juga meningkatkan tahap kreativiti bersama kamera ini dengan kelengkapan sistem AF pelbagai poin dikuasakan kelajuan shutter sehingga 1/8000.

Penstabil imej pula memudahkan rakaman daripada gegaran ketika merakam foto lengkap pembersih habuk dan skrin berpandukan sensor MOS 'Live' di atas skrin 3 inci. Resolusi pula sehingga 12.3 megapiksel dan ia menjadikan imej lebih vivid dan tajam untuk kepuasan tatapan

Olympus E-5 memang sesuai dengan bantuan lensanya yang menarik apabila bolehmerakam dalam keadaan pencahayaan yang sangat rendah tanpa bantuan lampu flash, hanya tetapkan pada mod automatik pun sudah cukup sebenarnya.

Cuma harganya agak mahal sikitlah kalau anda sanggup berbelanja sehingga RM5,599 untuk badan saja. Kering juga poket sebelum raya.

Jadi pilihan kini di tangan anda, raya tidak sampai dua hari. Masih ada masa untuk membeli belah gajet kamera DSLR! Salam Aidilfitri 1433H dari saya...Maaf zahir batin!