Flip-flop rebat, telco juga yang untung

Saya hampir mahu menulis berkaitan Pakej Komunikasi Belia (PKB) di mana ia menawarkan rebat sehingga RM200 jika anda mahu melakukan pembelian melibatkan telefon pintar berharga RM500 ke bawah (ya, angka ketika itu) tetapi saya membatalkan hasrat kerana naluri saya berasakan projek tersebut pasti berubah dari segi terma dan syaratnya.
Ternyata, saya tidak silap, baru masuk dua hari menjelang tahun baru, keputusannya sudah dikatakan 'flip flop'. Kalau boleh kita imbas kembali, keputusan menawarkan PKB dilakukan setelah kajian MENDALAM sebelum pembentangan Belanjawan 2013. Jika anda bercakap soal belanjawan, ia bermakna kajiannya perlu terperinci dan lengkap.
Kita imbas juga syarat biasa PKB iaitu telefon perlu berharga RM500 ke bawah, perlu berumur antara 21 hingga 30 tahun, berpendapatan kurang RM3,000 dan perlu menggunakan perkhidmatan pakej syarikat telekomunikasi sedia ada termasuk Maxis, Celcom, DiGi, Tune Talk, U Mobile dan Yes.
Tetapi sekarang, harga siling telefon tersebut sudah dihapuskan bermakna anda boleh membeli mana-mana telefon pintar selepas ini tetapi syarat pakej bersama syarikat telekomunikasi masih kekal. Contoh satu syarikat telekomunikasi yang sudah mengeluarkan pakejnya berbunyi begini;
Produk: Samsung Galaxy Y
Harga pasaran: RM399
Harga syarikat telekomunikasi (jika kontrak 1 tahun): RM118 (selepas rebat RM200)
Bayaran 'Advance': RM250
Bayaran bulanan: RM78 (data 1GB)
Kita ambil kira begini harga asal RM399. Harga tawaran syarikat telekomunikasi, RM250 + RM118 = RM368. Kemudian kita terus membayar kira RM78 sebulan darab dengan 12 bulan jadi kira-kiranya begini, RM78 x 12 = RM936. Kurang pasti di mana letaknya rebat tersebut disebabkan ia kelihatan sama saja. Itu belum bercakap soal kualiti rangkaian dan sebagainya.
Walau apapun langkah yang dilakukan, pengguna masih perlu terikat dengan kontrak minimum setahun yang masih membebankan. Persoalannya bukan ketika membeli telefon itu tetapi membayarnya secara bulanan. Ditambah pula dengan harga siling yang dihapuskan, bermakna lebih mahal telefon tersebut dengan nisbah diskaun yang kurang.
Kerajaan membelanjakan kira-kira RM300 juta untuk PKB iaitu dengan sekali bayaran rebat RM200. Angka yang sebenarnya boleh digunakan untuk tujuan lain melebihi nilai pemberian rebat.
Angka RM300 juta boleh digunakan untuk tujuan teknologi lebih baik kepada pengguna misalnya pemasangan stesen nano di kampung-kampung pendalaman untuk lebih memperluaskan liputan jaringan komunikasi yang kerap menjadi masalah.
Angka RM300 juta juga boleh digunakan untuk mendidik anak muda untuk tidak menyalahgunakan media sosial hanya untuk berhibur semata-mata.
Angka RM300 juta juga boleh ditukar menjadi geran dan ditawarkan kepada usahawan teknologi di Malaysia supaya satu hari nanti lahirlah individu seperti Steve Jobs dan Bill Gates. Sudah terbukti Malaysia mempunyai bakat, cuma sumber kewangan mereka sangat terhad.