Advertisement

Jom Uji: Di Manakah ‘Grand’ Samsung Galaxy Grand

Terdapat banyak telefon Samsung di pasaran. Lihat sajalah, Galaxy Note lah, S4 lah, macam-macam sampai pening kepala memilih. Harga pun boleh tahan!

Namun, jika anda mahu menggunakan Samsung sebagai telefon ditambah pula anda seorang yang sibuk atau aktif menggunakan dua nombor dan tidak mahu membawa dua telefon dalam poket pada satu masa, pilih saja Samsung Galaxy Grand.

Ia telefon pertengahan yang baik dan lancar dan jika saya ingin berikan jumlah bintang selepas mengujinya, mungkin saya akan berikan 7/10. Boleh tahanlah tu!

Kita lihat spesifikasi ringkas Samsung Galaxy Grand ini. Saiz 5 inci, pemproses Dual Core 1.2GHz ARM Cortex A9, OS Android Jelly Bean 4.1 (boleh kemaskini), dwi sim dan bateri 2100mAh. Cukuplah untuk kegunaan anda pada harga antara RM1,050 hingga RM1,299 seperti yang dijual di pasaran sekarang.

Reka bentuknya pun seakan-akan sama seperti rekaan model lama Galaxy S3 tetapi dibesarkan sedikit! Kerangka keliling skrin 5 inci dengan butang on/off ditetapkan di bahagian kanan sementara port microUSB di bahagian bawah dan terdapat sambungan 3.5 mm di atas.

Saya lebih gemarkan mengaitkannya dengan S3 kerana rupanya hampir sama namun ia adalah jauh lebih besar, lebih berat dan lebih tebal berbanding S3 (162g) tetapi nasib baik ada penutup belakang yang nipis. Ia bermakna, anda boleh mencabut bateri jika mahu 'reboot' telefon dengan cepat! Maklumlah, apabila menggunakan Samsung, ada sekali dua dalam sebulan anda akan mengalami masalah telefon yang 'hang' secara tiba-tiba. Jalan mudah, cabut bateri!

Jika anda membuka penutup belakang, anda akan mendapati ruang untuk SIM 1 di sebelah kiri atas dan SIM 2 di sebelah kanan bateri selain slot kad microSD yang membolehkan memori tambahan sehingga 64GB. Mungkin ada yang bertanya apakah jangka hayat bateri jika menggunakan dua talian sekaligus, saya katakan, ia tidak jauh berbeza, cuma kurang ketahanan sejam awal berbanding telefon dengan jumlah kapasiti bateri sama.

Kawalan ke atas fungsi dwi sim melalui aplikasi dalam `Home' juga mudah. Sebagai contoh, sim 1 boleh digunakan untuk data manakala sim 2 boleh ditetapkan bagi menerima panggilan saja.

Agak sedikit kecewa dengan skrin 5.0 inci kerana resolusi 480 x 800 dan 187ppi memang tidak setaraf saiznya, jadi jangan harap anda boleh mendapatkan imej grafik yang benar-benar cantik apatah lagi Samsung memilih untuk memakai LCD bukannya AMOLED pada Galaxy Grand, tidak seperti S3 atau Nota 2.

RAM 1GB? Ok, biasa saja! dilengkapi kamera 8 megapiksel dengan flash LED dan pilihan ciri ISO, imbangan putih, resolusi, fokus auto dan makro, masa, pendedahan, flash kawalan, mod rakam dan pelbagai penapis serta kesan khas tetapi jangan mengharapkan kualiti rakaman yang hebat seperti S4.