Advertisement

Liputan Sesak Punca Kualiti Suara Bermasalah

Di Malaysia, kita mempunyai beberapa syarikat telekomunikasi atau telko utama seperti Maxis, Celcom, DiGi dan U Mobile. Mereka menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti panggilan suara, khidmat pesanan ringkas atau SMS dan yang terkini, data.

Kalau dulu, semua telko bergantung kepada bisnes panggilan sehinggakan cajnya seperti panggilan ke luar boleh menjangkau hingga RM2 seminit sebelum SMS mula tersedia untuk kita. Di kala SMS baru wujud sekalipun, harganya mahal, sekali SMS pun ada yang berharga RM1, ada juga syarikat telko yang mengenakan caj kalau kita sendiri menerima SMS.

Sekarang, tiba masa untuk data, tujuannya adalah mengakses kepada internet yang direalisasi bermula dengan rangkaian 2G, lebih baik dengan 3G dan ada yang sudah memulakan inisiatif LTE atau nama panjangnya evolusi jangka panjang.

Jika bercerita khusus mengenai trend suara yang menjadi perkhidmatan paling utama dalam telko pastinya kini ada yang menimbulkan persoalan sejauh mana kualiti yang kita dapat. Pernahkah atau selalukah ketika anda berbual di telefon bimbit, secara tiba-tiba anda tidak mendengar dengan jelas suara di sebelah pihak?

Rata-rata ada yang menghantar komen dan memberi maklum balas di akhbar menyatakan mereka kurang berpuas hati dengan liputan rangkaian syarikat telko. Meskipun anda tidak berada dalam lif atau bilik yang tertutup, panggilan dirasakan kurang jelas walaupun telefon yang digunakan sangat canggih. Adakah anda tertanya-tanya sebabnya?

Malah ketika berbual lebih dari lima minit, secara tiba-tiba suara yang didengar tidak berapa jelas dan sering terputus-putus. Pihak di sebelah sana pun tidak dapat mendengar suara anda pun kehairanan takut anda berada dalam lif dan sebagainya.

Salah satu sebab paling jelas adalah kualiti liputan yang semakin sempit. Kalau dulu, telko hanya menggunakan rangkaian untuk suara. Ia kemudiannya berkongsi dengan SMS dan seterusnya kini data pula.

Semuanya menggunakan hanya satu rangkaian. Bayangkannya begini, sesebuah jalan atau lebuh raya itu mempunyai kepadatan kereta yang tinggi tetapi hanya satu lorong saja yang ada menampung kesemua kereta, mestilah tidak cukup!

Oleh itu, telko kini mungkin pening untuk mencari penyelesaian yang benar-benar baik bagi mengatasi masalah tersebut. Dulu mungkin ada yang berkata rangkaian jenis 3G sudah cukup tetapi nampaknya ia juga tidak memadai.

Memandangkan pertambahan pengguna telefon bimbit di mana di Malaysia saja mempunyai 100% penembusan telefon dengan pengguna juga (iaitu sekitar 45% mengikut kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pada 2011) lebih mementingkan panggilan berbanding SMS (28.7%) yang menunjukkan betapa pentingnya perkhidmatan panggilan kepada rakyat.

Telko kini bergantung kepada masa depan baru iaitu LTE yang dijangka menyediakan jalur lebar yang jauh lebih besar daripada HSPA malah perkhidmatan suara dalam rangkaian LTE dijangka menyelesaikan masalah yang dihadapi pengguna.

Melalui LTE, rangkaian tersebut menunjukkan prestasi mengagumkan dengan berupaya mencapai kelajuan pindah turun sehingga 80Mbps berbanding 3G hanya 6Mbps kalau bercakap soal data selain bermakna rangkaian boleh dipisahkan atau khusus untuk suara, SMS atau data saja.

Sebenarnya LTE ialah standard yang dimajukan bagi rangkaian jalur lebar mudah alih daripada Projek Perkongsian Generasi Ketiga atau 3GPP yang kini boleh didapati dalam tulang belakang infrastruktur internet.

Ramai pakar yang berpendapat penyelesaian suara berasaskan subsistem multimedia IP atau IMS adalah satu-satunya teknologi yang perlu diberi perhatian bagi rangkaian telko mudah alih untuk generasi masa depan.

Teknologi LTE menjadi rangkaian berasaskan protokol internet atau IP pertama digunakan bagi industri mudah alih yang bertindak balas dengan pantas terhadap penghantaran data mudah alih.

Semoga ia mampu menyelesaikan masalah rangkaian yang sudah sesak pada masa kini.