Lookout, Aplikasi Percuma Kesan Heartbleed

Beberapa hari yang lepas, blog Daunpisang ini telah memaklumkan tentang Heartbleed Bug iaitu satu isu sekuriti dalam talian yang sangat serius, kerana ia melibatkan sistem OpenSSL, iaitu sebuah sistem yang sepatutnya direka untuk melindungi data penting kita dalam talian seperti kata laluan, nombor kad kredit, perbankan, dan bermacam lagi.

Sedihnya Heartbleed tidak akan hilang dalam masa terdekat malah ramai juruanalisis keselamatan berkata ia akan kekal buat masa yang lama.

Paling menggerunkan, ia bukan lagi sekadar menjangkiti PC malah telah menular ke telefon pintar terutama platform Android terutama versi 4.1.1. Meskipun Google yang memiliki Android pantas bekerjasama dengan satu rakan kongsi untuk mengesan Heartbleed ini, ia mengambil masa yang agak lama untuk siap.

Sementara kita menunggu, sebagai pengguna Android anda mempunyai pilihan pantas melalui aplikasi Lookout yang ditawarkan secara percuma dinamakan Heartbleed Detector.

Ia berfungsi mengimbas telefon atau tablet anda sebelum melaporkan keputusan jangkitan pada telefon. Jika ia mengesan adanya Heartbleed, apa yang anda boleh lakukan adalah dengan kemaskini dengan pantas versi Android anda. Caranya, sila kemaskini di Settings > About > Software update.

Jangan pandang ringan masalah Heartbleed kerana ia boleh mengakibatkan orang luar yang tidak berkaitan mendapatkan info anda dengan sangat mudah. Bagaimana ia membahayakan?

Contohnya anda gemar membeli barang atas talian di Ebay. Untuk membeli barang ini pasti anda menggunakan kad kredit atau kad debit melalui PayPal. Semua maklumat kad kredit anda yang ditaip dalam PayPal tidak akan diketahui oleh sesiapa termasuk PayPal itu sendiri kerana ia telah dienkripsi atau bahasa Inggerisnya 'encrypt' melalui SSL. Hanya anda yang mempunyai og masuk (username) dan kata laluan (password) yang betul sahaja bagi meluluskan sebarang transaksi pembelian melalui PayPal ini.