Advertisement

Masih minat BlackBerry? Model Classic dah lancar

CEO BlackBerry, John Chen memperkenalkan Blackberry Classic (Q20) yang sudah boleh mula ditempah dan diangggarkan mula dijual di Amerika Syarikat pada pertengahan bulan Disember 2014. Dijangka satu upacara pelancaran bersama di Singapura, New York dan Frankfurt akan dibuat pada 17 Disember 2014.

Blackberry Classic merupakan satu usaha dari Blackberry bagi memperkenalkan semula rekaan ‘belt’ pada peranti Blackberry pra OS10. Belt ini merujuk kepada butang menjawab dan meletak telefon, menu, kembali dan paling penting sekali, trackpad. Ramai pengguna setia Blackberry meminta agar belt ini kembali di peranti Blackberry OS10 dan nampaknya, setahun selepas John Chen menjadi CEO Blackberry, permintaan ini ditunaikan.

Dalam tinjauan kami di internet, terdapat satu lamanweb yang menyenaraikan harga bagi Blackberry Classic ini pada USD449. Jika ditukar terus dengan kadar semasa, ia akan menjadi sekitar RM1500. Jika ini benar, ia boleh dikira agak murah bila dibandingkan dengan model utama telefon pintar jenama lain. Apa yang pasti, ia akan diletakkan lebih murah dari Blackberry Passport yang dijual pada harga RM2399 di Malaysia.

Pada upacara yang sama, John Chen turut memperlihatkan edisi terhad Blackberry Passport yang berwarna merah. Edisi terhad ini akan dijual khas pada jualan ‘Black Friday’ pada hujung bulan November ini.

Di samping itu, Blackberry turut mengumumkan kerjasama dengan Samsung, bagi menyediakan perkhidmatan Blackberry BES12, untuk digunakan bersama solusi keselamatan Samsung, iaitu Samsung KNOX.