SKMM Nafi Sekat Laporan BBC ‘Kangkung’

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyelia industri komunikasi di negara ini menafikan agensi kerajaan tersebut menyekat akses kepada laman berita antarabangsa BBC melalui BBCTrending yang mengeluarkan laporan 'Kangkung' di Malaysia.

Beberapa hari lepas, agensi berita British Broadcast Centre (BBC) itu mengeluarkan berita tentang 'viral' Kangkung berikutan kenyataan Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Razak yang menyebut tentang sayur tersebut dalam satu acara.

BBC yang mengeluarkan laporan dalam segmen BBCTrending bagaimanapun tidak boleh diakses selama sehari melalui desktop yang mengundang kemarahan orang ramai. Hanya versi mudah alih saja yang boleh diakses.

Namun, Sheikh Raffie Abdul Rahman , Pengarah Kanan Komunikasi Strategik, SKMM berkata, “SKMM sebagai pengawal selia industri tidak menghalang atau mengarahkan mana-mana pembekal perkhidmatan internet di Malaysia untuk menyekat laporan dalam talian BBC tersebut.

“Berdasarkan penilaian awal, laporan itu boleh diakses oleh pengguna internet. Kami memahami bahawa ada pengguna yang mengalami kesukaran sementara dalam mengakses laporan tersebut, tetapi pada masa kenyataan ini dikeluarkan, gangguan ini telah diselesaikan. Tambahan pula, kita tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada orang ramai mengenai kesukaran untuk mengakses laporan itu.”

SKMM juga menyangkal laporan awal dalam media yang disalah rujuk SKMM sebagai berkata bahawa pelbagai penyedia perkhidmatan Malaysia boleh bertindak atas kemahuan mereka sendiri. “Salah lapor ini adalah satu perkara yang serius,” katanya

Beliau sekali lagi menegaskan SKMM memahami manfaat internet dan media sosial yang baik dan akan terus berusaha untuk meningkatkan akses jalur lebar kepada rakyat Malaysia.

“Persekitaran dalam talian Malaysia adalah bebas dan merupakan salah satu asas yang paling kukuh dan kritikal di dunia. SKMM dan kerajaan Malaysia komited untuk memastikan media dalam talian kami kekal bersemangat. Kami sentiasa menggalakkan pengawalan sendiri dan tanggungjawab oleh pengguna internet daripada menggunakan undang-undang.” tambah Encik Sheikh Raffie Abdul Rahman.