Advertisement

Syarikat IT Malaysia ke Silicon Valley

Seakan sukar melihat syarikat IT yang berasal dari Malaysia, diusahakan anak Malaysia dan didaftarkan buat pertama kali di Malaysia untuk bertapak di peringkat antarabangsa melangkaui sempadan Asia Tenggara.

Rata-rata syarikat IT dimonopoli syarikat-syarikat gergasi dari Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan terutama melibatkan bidang kandungan mudah alih seperti penciptaan aplikasi.

Kalau anda ingin tahu, tempat di mana kebanyakan syarikat IT duduk berkampung dan bertapak berada di Silicon Valley, Amerika Syarikat.

Di sinilah letaknya nama-nama besar seperti Intel, Google, Twitter, Yahoo! Ebay malah Facebook dan bermacam-macam lagi. Takut mendengar nama-nama besar tersebut yang bermakna peluang syarikat Malaysia seakan terpadam kalau mahu membuka pejabat di sana. Apatah lagi, kelulusan yang melalui proses yang ketat amat diperlukan untuk sesebuah syarikat membuka cawangan atau pejabatnya di Silicon Valley.

Buktinya, banyak permohonan ditolak mentah-mentah, bukan satu dua tetapi beribu-ribu borang dan proposal ditendang pengendali yang mengenakan pelbagai syarat ketat demi menjaga nama baik Silicon Valley. Ia juga bermaksud, hanya mereka yang benar-benar layak dan menepati kriteria teknologi tertentu saja yang diberi perhatian.

Tetapi percayakah anda, dalam puluhan dan ratusan syarikat teknologi maklumat yang berada di Silicon Valley, terselit sebuah syarikat Malaysia yang dikendalikan anak muda yang sudah berkecimpung dalam dunia teknologi sejak di bangku sekolah lagi.

Syarikat itu bernama Terato Tech Sdn Bhd yang berjaya menyusup masuk ke Silicon Valley di San Francisco itu yang dilaksanakan dalam usaha mereka untuk mengembangkan operasi syarikat ke negara barat. Terato dikendalikan anak muda berasal dari Bangi, Reza Razali yang mengusahakan perniagaan IT berkaitan aplikasi.

Anak mudah yang baru berusia 28 tahun itu kini sebaris dengan syarikat antarabangsa yang bertapak di hab ICT dunia itu seperti Facebook, Yahoo!, Google, Twitter, Intel dan eBay untuk meneruskan usaha mereka memperoleh bisnes di sana. Menariknya, idea membuka syarikat di sana diperoleh setelah syarikat itu berjaya membuka mata dunia mengenai aplikasi mereka sehinggakan beberapa syarikat di Amerika Syarikat sendiri mencadangkan mereka untuk tampil membuka cawangan di Silicon Valley dalam usaha mendekatkan perniagaan dengan potensi di Amerika.

Sejarah Terato bermula hanya dari dalam bilik dengan angan-angan tinggi seawal tujuh apabila Reza berjaya mencipta aplikasi game tersendiri setelah menghabiskan masa berjam-jam di depan komputer klasik IBM 286 milik ayahnya yang juga seorang jurutera nuklear. Selepas itu, bermulalah detik dengan menggunakan apa saja peralatan di kiri dan kanan mencipta pelbagai program game komputer sendiri menggunakan cara pengaturcaraan Q Basic.

Malah, seawal usia 10 tahun, ayah Reza telah menghantar beliau mengikuti kelas pengaturcaraan secara profesional setelah melihat Reza bersungguh dalam mempelajari komputer. Lebih menarik, beliau dianugerahkan anugerah bertaraf antarabangsa seawal usia 17 tahun dengan aplikasi diciptanya ketika itu sebelum berkelana ke Amerika Syarikat untuk bekerja di sana dan kembali semula ke Malaysia dengan ilmu penuh di dada seterusnya Terato diperkenalkan secara rasmi.

"Saya bangga dapat membawa masuk nama Malaysia ke peringkat antarabangsa menunjukkan pengiktirafan barat terhadap keupayaan kita. Antara objektif utama Terato memulakan cawangan di Silicon Valley disebabkan pembangunan dan pelancaran beberapa produk yang lebih fokus kepada pengguna di Amerika Syarikat," jelas Reza.

"Terato dijangka lebih menumpukan operasi pemasaran kerana kami perlu menaikkan jenama produk dan syarikat. Silicon Valley adalah sangat bersesuaian sebagai hab IT dunia di mana ia memungkinkan Terato berinteraksi dan mengadakan mesyuarat dengan kerap dengan syarikat seperti Google, EA (pembangun game popular) dan Zynga (pembangun aplikasi)," tambah Reza lagi.

Untuk makluman, EA adalah pembangun game popuar sama ada menerusi konsol atau peralatan mudah alih seperti FIFA dan sebagainya manakala Zynga seperti yang anda perlu tahu adalah pencipta permainan Facebook popular iaitu Farmville.

Mengenai cabaran di Silicon Valley, Reza memaklumkan, "cara kerja pantas di lembah itu mengubah pemikiran staf syarikat Terato untuk bersaing."

Antara aplikasi yang dibangunkan Terato termasuk e-Parlimen, Qalvinius dan Adam Dreams. Syarikat itu juga membangunkan aplikasi mudah alih untuk syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan bank CIMB.