Tonton HyppTV Guna Telefon, Tablet atau PC, Pelanggan Streamyx Pun Sudah Boleh Layan

Jika sebelum ini, ramai kecewa apabila servis atau perkhidmatan IPTV, HyppTV yang diperkenalkan TM (Telekom Malaysia Berhad) hanya ditawarkan kepada pelanggan jalur lebar UniFinya saja, namun bermula 1 Ogos ini ada berita gembira untuk anda.
Bermula pada tarikh tersebut, HyppTV juga boleh dilanggan para pelanggan jalur lebar Streamyx 4Mbps dan 8Mbps yang baru mahupun sedia ada, sekaligus memperluaskan jangkauan perkhidmatan IPTV kepada jumlah penonton yang lebih ramai di seluruh negara.
Pada masa juga, TM memperkenalkan HyppTV Everywhere, yang membolehkan anda menonton siaran HyppTV pada mana-mana peranti berasaskan iOS yang dikeluarkan Apple. Jangan risau, pengguna OS Android juga boleh menikmatinya.
HyppTV Everywhere akan disediakan untuk pelanggan UniFi dan Streamyx (4Mbps & 8Mbps) menonton HyppTV di mana sahaja dan pada bila-bila masa melalui peranti-peranti mereka, menepati aspirasi TM untuk membawakan gaya hidup digital bersepadu yang dipertingkatkan kepada rakyat Malaysia di seluruh negara.
Untuk pelanggan Streamyx 8Mbps sedia ada dan baru, HyppTV akan ditawarkan sebagai sebahagian daripada pakej perkhidmatan tiga serangkainya iaitu suara, Internet dan IPTV pada harga RM160 sebulan dengan 17 saluran percuma serta mempunyai pilihan untuk melanggani HyppTV Platinum Pack. Untuk pelanggan-pelanggan Streamyx 4Mbps baru dan sedia ada yang pada masa ini menikmati perkhidmatan dua serangkai iaitu suara dan Internet, HyppTV ditawarkan sebagai pilihan tambahan pada kadar RM30 sebulan dengan 17 saluran percuma serta mempunyai pilihan untuk melanggani pek HyppTV.
HyppTV Everywhere ditawarkan sebagai perkhidmatan tambahan kepada pelanggan sedia ada UniFi dan Streamyx (4Mbps dan 8Mbps) untuk menonton kandungan HyppTV melalui pelbagai peranti. Untuk menikmati HyppTV di pelbagai skrin, para pelanggan baru dan sedia ada HyppTV hanya perlu membayar serendah RM5 sebulan untuk dua peranti atau RM10 sebulan untuk lima peranti.
Sebagai promosi pengenalan, semua pelanggan UniFi dan Streamyx boleh menikmati perkhidmatan HyppTV Everywhere untuk dua (2) peranti secara percuma bermula 1 Ogos hingga 30 September 2013. Untuk memuat turun aplikasi HyppTV Everywhere, pelanggan boleh melayari Play Store atau Apple Store dan cari “HyppTV Everywhere”.
HyppTV boleh ditonton tanpa mengira keadaan cuaca hujan atau panas melalui pakej kediaman UniFi VIP, penawaran tiga serangkai (triple-play) yang menggabungkan suara, video, data, dan kini melalui pakej Streamyx 4Mbps dan 8Mbps. TM juga telah menjadikan HyppTV for Business sebagai sebahagian daripada pilihan-pilihan dalam pakej UniFi BIZ, menjadikannya juga penawaran triple-play – ciri yang sebelum ini hanya ditawarkan kepada pelanggan kediaman – membolehkan syarikat PKS memperkayakan lagi perniagaan mereka dengan pengalaman infotainment yang menarik.
Kini, HyppTV merupakan perkhidmatan IPTV yang paling pesat berkembang di Malaysia, menawarkan kepada pelanggannya sejumlah 109 saluran dengan 27 saluran dalam bentuk Definisi Tinggi (HD) – terdiri daripada 25 saluran percuma termasuk 8 saluran radio, 48 saluran premium, 16 genre Video-On-Demand (VOD) dan 20 saluran interaktif.
Perkembangan terbaru ini menyusul selepas HyppTV dianugerahkan sebagai Best Online TV Service or Solution di majlis anugerah berprestij, TV Connect Industry Awards 2013 (sebelum ini dikenali sebagai IP&TV Industy awards) di Mayfair, London tahun ini. Dengan anugerah ini, HyppTV juga mencipta sejarah apabila menjadi syarikat IPTV pertama di Malaysia yang memenangi anugerah di acara berprestij itu, yang mengiktiraf dan meraikan inovasi, kecemerlangan dan pencapaian dalam industri Connected Entertainment.