Nasib dunia tanpa minyak

Harga minyak naik lagi. Dari data dan maklumat, jelas terbukti harga minyak Ron 97 telah berkali-kali naik. Pada bulan Julai 2010 harga minyak Ron 97 untuk satu liter hanya RM 2.10 sen. Pada tahun 2010 harganya naik 3 kali. Pada tahun 2011 harga naik 5 kali. Tahun ini ianya telah naik 3 kali untuk menjadi RM3 untuk satu liter.

Saya tidak membantah kenaikan harga minyak. Malah saya juga menyokong kenaikan harganya. Ini bukan kerana saya tidak memiliki apa yang dipanggil — jejak kaki karbon atau 'carbon footprint'. Atau kerana saya tidak memiliki kereta. Atau kerana saya tidak pandai memandu kereta.

Saya menyokong kenaikan harga minyak kerana sebab-sebab yang lain. Saya ini memiliki pandangan yang paling minoriti dalam hal minyak. Malah, saya melihat dasar minyak yang sering dilafazkan oleh para pemimpin politik tidak betul dan tidak memiliki asas ekonomi. Malah dasar menurunkan harga minyak itu akan membawa mudarat berjangka panjang untuk kita semua.

Saya juga tidak menyokong dasar untuk memurahkan lagi harga kereta. Ini bukan kerana saya tidak memiliki kereta. Ini bukan saya menolak pengunaan kereta. Disini saya akan membuka satu wacana yang agak berbeza daripada saranan populis politikus yang sering kita dengar. Saya membuka satu jalur fikrah untuk melihat masalah yang sama tetapi mengajukan jawapan yang amat berlainan.

Harga minyak murah. Harga kereta murah - memang sedap didengar. Memang menjadi halwa telinga. Siapa yang tidak suka mendengar harga bahan bakar minyak petrol murah dan harga kereta juga murah. Tapi apakah ini dasar yang tepat? Apakah dasar ini memberi manfaat berjangka panjang untuk kesejahteraan umat manusia.

Disini saya ingin meminta para pembaca keluar dari bilik imaginasi yang sedang dipakai. Keluar dari berimaginasi dengan merujuk kepada apa yang dilihat disekitar kita. Ertinya membebaskan diri dari nilai yang kita pegang hari ini. Bebaskan diri dengan membuka satu imaginasi baru, segar dan cerah.

Saya datang dari penganut mazhab yang yakin kepada teori - puncak minyak atau 'peak oil'. Ajaran dan rukun mazhab ini cukup senang untuk difahami. Sesiapa yang menganut teori mazhab ini percaya bahawa minyak atau bahan bakar petroleum ini adalah sumber alam yang terhad. Ertinya minyak tidak akan wujud untuk selama-lamanya. Bukan seperti buah durian - jika bijinya ditanam, maka satu ketika nanti kita akan dapat memakan buahnya.

Berjuta-juta tahun dahulu sampah sarap, kayuk-kayan, bangkai hidupan dari darat dan laut - terkambus dan tertanam - akhirnya satu proses telah menjadikan bahan-bahan ini minyak mentah yang tersimpan dalam perut bumi.

Pada satu ketika dahulu, gajah, kuda, lembu, keldai dan juga manusia yang memiliki kudrat telah melakukan pelbagai pekerjaan yang berat-berat. Tenaga binatang ini telah digunakan diladang, digunakan untuk mengangkat barang atau untuk membajak tanah tanah perladangan.

Kurang lebih 150 tahun dahulu, lahir Revolusi Industri. Di awal Revolusi Industri, kuasa wap telah memainkan peranan yang amat penting sebagai tenaga penggerak. Melalui pembakaran arang batu, tenaga binatang dan manusia telah diambil alih oleh wap.

Semua berubah apabila minyak ditemui di Titusville, Pennsylvania, Amerika pada tahun 1859. Kemudian minyak ditemui di Baku 1861. Semenjak itu landskap dunia berubah untuk selama-lamanya.

Bahan bakar petroleum yang ditemui telah mengambil alih kuasa wap. Lihat sejarahnya - hingga ke hari ini masih ada ada rujukan kepada kudrat kuda - horse power - untuk nisbah bakaran minyak dalam enjin kereta.

Selama 150 tahun yang berlalu ini, sebenarnya tamadun kita adalah 'Tamadun Petroleum'. Manusia telah melintasi zaman batu, zaman besi atau zaman gangsa. Maka hari ini kita sedang berada di zaman petrol. Kita tidur petroleum, kita duduk petroleum, kita makan petroleum dan kita minum petroleum. Budaya umat mansuia hari ini adalah budaya bahan bakar petroleum.

Bukan hanya kereta sahaja yang menggunakan petroleum. Bahan-bahan plastik di dalam rumah kita berasaskan petrol. Fabrik pakaian kita juga adalah hasil dari petrol. Sila perhatikan - kerusi, meja, komputer, radio, TV dan cermin mata yang kita gunakan juga adalah petrol. Hasil sampingan bahan bakar petroleum wujud di sekeliling kita.

Bila saya katakan yang kita minum dan makan petrol, mungkin ada yang menganggap saya membuat lawak. Ini bukan lawak. Ini hakikat. Baja untuk bahan makanan adalah hasil dari petrol. Pembajak sawah dan ladang yang menghasilkan makan kita digerakkan oleh petrol. Tanpa petrol dunia moden hari ini akan tidak ada bahan makanan.

Reka bentuk kota, bandar, kampung kita - semuanya terbentuk berasaskan kewujudan bahan bakar petrol. Bangunan-bangunan tinggi didirikan kerana wujudnya bahan bakar petrol yang memungkinkan bangunan ini dicerahkan, disejukkan dan dinaiki. Hakikatnya manusia hari tidak boleh lagi bergerak tanpa petrol. Tanpa bahan bakar petrol dunia akan bergelap.

Maka, disini saya mencelah masuk dengan ajaran mazhab puncak minyak. Teori puncak minyak/peak oil theory sedang membuktikan pengeluaran minyak dalam dunia ini semakin susut. Dari hari ke hari negara yang dahulunya anggota OPEC - negara pengeluar dan pengekspot minyak - kini telah menjadi negara pengimpot minyak.

Amerika pada satu ketika dahulu adalah negara pengeluar minyak numero uno dalam dunia. Pada tahun 70-an minyak tidak lagi ditemui lagi di Amerika. Hari ini Amerika mengimpot 10 juta tong minyak mentah sehari. Indonesia - anggota OPEC - negara pengekspot minyak yang lumayan- kini telah menjadi negara pengimpot. Negara kita masih lagi mengekspot minyak. Tetapi dari kenyataan rasmi kerajaan, pada tahun 2016 Malaysia juga akan menjadi negara pengimpot.

Malah, bulan lalu dunia telah digemparkan dengan laporan Citigroup Inc. Lembaga yang beribu pejabat di New York ini membuat kajian tentang trend dan arah ekonomi dunia. Mengikut laporan Citigroup Inc, Arab Saudi yang pada hari ini pengeluar dan pengekspot minyak terbesar dalam dunia akan menjadi negara pengimppt bahan bakar petroliam pada tahun 2030. Laporan berita ini mengegarkan Walls Street dan dunia kapitalis.

Hakikatnya, bahan bakar petroleum semakin susut. Pengeluaran semakin berkurangan. Tetapi permintaan semakin bertambah. India dan China yang sedang giat membangun tidak memiliki telaga minyak. Dua negara ini menjadi negara baru yang dahagakan bahan bakar ini.

Justeru, kerana inilah saya tidak bersetuju harga minyak dikurangkan. Untuk saya tidak masuk akal - zero economic sense - satu bahan yang semakin berkurangan dengan permintaan bertambah, maka harganya kita kurangkan. Ini hukum ekonomi kapitalis yang salah.

Malah, saya juga menolak subsidi ke atas bahan bakar ini. Apakah saya tidak bersimpati kepada warga yang berpendapatan rendah? Jangan silap tafsir. Saya bersimpati, malah wacana dan cadangan yang saya ajukan ini bertujuan untuk membantu warga yang berpendapatan rendah. Tetapi bukan dengan membeli kereta murah atau minyak murah.

Subsidi minyak wajib dilupuskan. Ini kerana adalah tidak adil untuk orang seperti saya yang tidak memiliki kereta, juga dikira sama sebagai rakyat Malaysia - untuk memberi subsidi kepada mereka yang menggunakan kereta. Kenapa warga yang tidak berkereta tidak ada subsidi?

Justeru, saya mengajukan bukan kereta murah dan bukan juga minyak murah. Saya mengajukan kerajaan memberi subsidi kepada pengangkutan awam - bas, kereta api dan tram. Pengangkutan awam ialah jawapan kepada bahan bakar petroleum yang semakin susut. Dengan sistem pengangkutan awam yang tuntas, teratur dan murah, maka warga tidak berhadapan dengan macet berjam jam duduk dalam kereta. Telaga minyak kita tidak cepat kempis dan impot minyak kita juga berpada-pada.

Jalan dan lebuh raya kita semakin padat. Adalah tidak masuk akal untuk menambah banyakkan lagi kereta. Malah kereta peribadi sebagai sistem pengangkutan adalah yang paling tidak efisen. Dari kajian ilmiah, pembuata kereta - besi dan lain lain - adalah pembaziran. Kereta jika dibandingkan dengan nisbah minyak yang dibakar dan berat bahan yang diangkut kelihatan tidak efisen.

Saya perhatikan belum hadir satu kesedaran yang ampuh tentang dasar masa depan negara apabila kita tidak lagi memiliki minyak. Mengikut teori puncak minyak - pengeluaran minyak dunia hari ini telah melintasi zaman puncaknya. Pada ketika ini tidak ada lagi penemuan telaga minyak baru yang lumayan. Pengeluaran semakin menurun dan merosot. Turun naik harga Ron 97 ini hanyalah salah satu bukti. Data-data pengeluaran mengesahkan bahawa Tamadun Petroleum ini akan berakhir.

Justeru, kerana inilah saya meminta agar kita semua mewujudkan satu imaginasi baru. Kita wajib meneroka gaya kehidupan baru yang tidak lagi seratus peratus bersandarkan dengan bahan bakar petrol. Kita wajib mewujudkan imaginasi baru dimana seluruh budaya kehidupan kita bukan didefinasikan oleh budaya konsumer yang berlandaskan bahan bakar petrol.

Saya sedar imaginasi baru ini agak susah untuk dibayangkan. Tetapi, umat manusia tidak ada pilihan kerana bahan bakar ini akan habis. Sebelum kita semua bergelap, ketika cahaya elektrik masih ada lagi, adalah bijak untuk kita semua berhenti sebentar dan bertanya pada diri sendiri: betulkah bahan bakar petroleum ini akan habis?