Advertisement

Mampukah Putrajaya terima pelan pemulihan MAS?

Parliament passes MAS bill

Cadangan kerajaan menyelesaikan masalah dihadapi Malaysia Airlines (MAS) yang mengalami kerugian akan diuji esok apabila pengurus aset negara Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) membentangkan pelan induk penstrukturan semula yang disediakannya kepada Kabinet.

Pelan itu akan termasuk mengurangkan ribuan pekerjaan, menyediakan peluang latihan semula dan penempatan kakitangan dan pakej pemberhentian.

The Malaysian Insider difahamkan Khazanah berharap pelan itu telus dan cukup berperikemanusiaan, tetapi yang paling utama, mereka mengharapkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak faham masa depan syarikat penerbangan negara itu hanya boleh diselamatkan dengan mengambil langkah tegas dan benar-benar perlu.

Kemuncaknya, ia bermakna kehilangan beribu pekerjaan, sehingga mungkin 30% daripada tenaga kerja sekarang, lebih sedikit daripada angka yang dipetik Reuters semalam.

Dalam masa beberapa minggu lepas, pegawai Khazanah dan MAS mengadakan mesyuarat dengan pelbagai kesatuan pekerja dan pemegang saham lain bagi memperolehi persetujuan mereka terhadap pelan yang memerlukan kelulusan Kabinet sebelum diumumkan seawal Jumaat ini.

Sumber berkata pelan itu akan termasuk mengambil eksekutif asing ternama membantu memulihkan MAS sebagai sebahagian tindakan rombakan besar-besaran, yang terbaru sejak langkah Penyeleraian Aset Meluas (Widespread Asset Unbundling atau WAU) MAS pada 2002, setahun selepas Putrajaya membeli kembali MAS daripada hartawan Tan Sri Tajuddin Ramli.

Selain pemberhentian pekerja, pelan terbaru itu akan menyaksikan MAS menghentikan laluan yang tidak menguntungkan dan mengurangkan kekerapan penerbangan serta mengkaji semula kontrak berat sebelah sedia ada yang ditandatangani dengan pelbagai pihak berkepentingan.

Sementara identiti eksekutif asing itu masih dirahsiakan, The Malaysian Insider difahamkan mereka yang terkenal dalam industri penerbangan antarabangsa dan dijangka bekerja dengan ketua pegawai eksekutif (CEO) baru, nama yang disebut-sebut ialah ketua syarikat telekomunikasi Datuk Seri Shazzalli Ramly.

Sumber yang hampir dengan pelan itu berkata, ketua eksekutif Celcom itu bertemu Najib Jumaat lepas. Najib ialah pengerusi Khazanah, pemegang saham utama kedua-dua MAS dan Celcom.

Beliau dijangka mengambil alih tugas daripada CEO sekarang, Ahmad Jauhari Yahya yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 19 September dan akan menumpukan kepada operasi harian MAS termasuk berhubung dengan kerajaan, sementara eksekutif asing itu nanti akan menumpukan hanya kepada memulihkan semula syarikat penerbangan negara itu.

Antara laluan yang dijangka akan dihentikan atau dikurangkan termasuk ke Paris, Kunming di China dan Jeddah di Arab Saudi memandangkan pesawat itu boleh menggunakan khidmat sekutunya dalam OneWorld.

Juga akan dikaji semula ialah kontrak RM6.25 bilion dengan Brahim's Airline Catering (BAC) Sdn Bhd yang dijangka dibuat setanding keadaan pasaran, berikutan dakwaan syarikat induk BAC iaitu Brahim's Holdings menandatangani perjanjian berat sebelah dengan MAS bagi perjanjian 25 tahun itu.

"Perubahan sedikit demi sedikit tidak akan berjaya. Khazanah serius memastikan MAS kembali mendapat keuntungan," kata sumber kepada The Malaysian Insider.

"Bagaimanapun, ia tidak akan teragak-agak menghentikannya jika pelan itu tidak dipatuhi sepenuhnya."

Khazanah dijangka mengadakan mesyuarat lembaga pengarah hari ini, dipengerusikan oleh Najib sendiri, membincangkan pelan penstrukturan semula itu, menjelang keputusan suku kedua syarikat penerbangan itu pada Khamis yang dijangka terus merudum.

Mei lalu, MAS melaporkan kerugian suku tahunan terbesar dalam masa lebih dua tahun, akibat penurunan mendadak penumpang "kesan dramatik" kehilangan pesawat MH370 yang tidak dapat dijelaskan.

Kerugian bersihnya meningkat kepada RM443.4 juta pada suku tahunan pertama, daripada RM278.8 juta pada tempoh sama tahun lepas, kerugian paling teruk syarikat penerbangan itu sejak suku tahunan Oktober - Disember 2011.

MAS mengalami kerugian sejak 3 tahun lalu, dilanda kos yang tinggi dan persaingan sengit.

Penganalisis penerbangan Mohsin Aziz berkata, keputusan suku tahunan kedua dijangka satu "bencana", kerana ia mungkin mencatat kerugian melebihi RM600 juta.

"Pelan pemulihan ini sangat penting. Ia tidak boleh ditangguhkan dan mesti dipercepatkan. Demi kepentingan semua, ia perlu diteruskan sepantas dan selancar mungkin," kata penganalisis Maybank IB itu.

Menurut sumber, Khazanah bersungguh memastikan pelan pemulihan ini berjaya kerana MAS merupakan simbol dan duta negara yang berkuasa.

"Ini 'last kopek' (peluang terakhir) untuk MAS," kata sumber lain.

Sejak 2007, MAS melalui tiga pelan penstrukturan semula tetapi tidak berjaya mencapai sebarang hasil kerana tenaga pekerja yang terlalu ramai, permintaan pasaran berubah, persaingan sengit dan kos overhed yang tinggi.

Syarikat penerbangan bermasalah itu dalam proses diambil alih oleh Khazanah yang memiliki 69% saham daripada MAS.

Awal bulan ini, Khazanah menawarkan 27 sen bagi setiap saham dalam syarikat itu yang tiada pemilik, berjumlah hampir RM1.4 bilion bagi pengambilalihan sepenuhnya syarikat. – 26 Ogos, 2014.